UPKO sokong NCA dibawa ke mahkamah – Ewon

309

PENAMPANG: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa partinya menyokong tindakan mantan Ahli Dewan Negara Adrian Lasimbang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi berkenaan Nature Conservation Agreement (NCA).

“Sebagai Naib Presiden UPKO dan Wakil Rakyat Kadamaian, saya menyokong tindakan yang telah diambil oleh Adrian dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi berkenaan NCA yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan Hoch Standard pada 28 Oktober 2021 yang lepas.

“Dalam sidang DUN pada Disember yang lepas, kami telah membangkitkan perkara ini tetapi tidak banyak maklumat yang diperolehi berdasarkan kepada jawapan lisan dan jawapan bertulis dari pihak kerajaan. Apabila perjanjian ini dibawa ke mahkamah dan kini menunggu penghakiman, dokumen yang berkaitan termasuk kandungan perjanjian NCA kini boleh diperolehi melalui capaian di mahkamah dan menjadi dokumen awam.

“Setelah meneliti perjanjian tersebut, ianya menimbulkan lebih banyak pertanyaan. Ini antara yang akan saya bangkitkan dalam sidang DUN yang akan diadakan pada bulan hadapan. Justeru, bagi pihak UPKO dan rakyat Sabah, kami berterima kasih kepada Adrian kerana berani mengangkat perjanjian ini ke mahkamah,” katanya.

Ewon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan demikian dalam ucapannya semasa menghoskan taklimat khas berkaitan NCA kepada kepimpinan tertinggi UPKO yang turut dihadiri oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Adrian telah menyampaikan taklimat khas tersebut yang menyentuh berkenaan dasar-dasar yang digunapakai di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan saman yang telah beliau kemukakan di mahkamah tinggi.

Menurut Ewon, penghakiman mahkamah kelak boleh memberikan maklumat sebenar sejauh mana ketelusan perjanjian tersebut dibuat.

“Kita tidak mahu perjanjian NCA ini mengulangi kesilapan perjanjian Akta Pembangunan Petroleum. Dalam keterujaan kerajaan hari ini mahu mencari sumber hasil baharu, jangan sampai menidakkan hak Orang Asal ke atas tuntutan tanah adat dan jangan sampai perjanjian ini membebankan generasi Sabah yang akan datang seperti perjanjian dengan Petronas,” kata Ewon.

Beliau juga membidas kerajaan kerana gagal mengadakan sesi libat urus yang sepatutnya dengan semua pemegang taruh termasuk penggubal undang-undang negeri iaitu ADUN-ADUN.

“Jika ianya tentang penciptaan sumber hasil baharu, bawa ia kepada pengetahuan kita. Adakan sesi libat urus kerana semua Wakil Rakyat juga memerlukan jaminan rakyat di kawasan tidak akan terbeban dengan perjanjian NCA ini.

“Di Kadamaian sendiri, penduduk di beberapa kampung masih mempunyai tuntutan tanah adat termasuklah dalam kawasan hutan simpan dan ianya perlu diselesaikan. Jika perjanjian ini dilaksanakan tanpa libat urus, ianya akan mencetuskan konflik berpanjangan di antara rakyat dengan pihak kerajaan,” katanya.