Pengusaha Pelancongan Disaran Tidak Lupuskan Tempahan Pakej Berbayar Mangsa Banjir

KUNDASANG: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sri Nancy Shukri menyarankan agar pengusaha pelancongan di negara ini tidak melupuskan tempahan pakej berbayar pelancong domestik yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini.

Advertisements

Beliau berkata pihaknya amat terharu dan sedih dengan nasib yang menimpa mereka dan ‘mungkin ada di kalangan mereka yang telah membeli pakej-pakej pelancongan tertentu tetapi tidak dapat menggunakan tiket atau baucer yang ditempah lebih awal’.

Oleh itu, katanya pihaknya menyeru pengusaha pelancongan termasuk pemilik hotel dan inapdesa supaya tidak melupuskan tiket dan baucer tersebut, sebaliknya membenarkan mereka menggunakannya pada masa akan datang.

Nancy berkata kementerian itu juga berharap syarikat penerbangan dapat menimbang untuk membenarkan pelancong domestik khususnya mangsa banjir menggunakan semula tiket penerbangan itu atau menunda penerbangan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya ‘Jejakbudaya@Kundasang 2021 di Pentas Budaya di sini hari ini.

Nancy berkata sektor pelancongan negara mula menunjukkan peningkatan terutama selepas Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong luar negara dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya momentum itu terkesan sedikit dengan penularan Covid-19 jenis Omicron.

Katanya secara keseluruhan aktiviti pelancongan domestik masih lagi “hebat” terutama di Langkawi.

Susulan penularan Omicron, Nancy berkata pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura menerusi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) khas antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Changi digantung buat sementara waktu berkuatkuasa hari ini sehingga awal tahun depan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Nancy berkata kementeriannya komited untuk terus melestarikan seni budaya negara termasuk di Sabah.

Katanya usaha menonjolkan seni budaya dalam kalendar pelancongan bertujuan mempelbagaikan produk pelancongan yang kini berpaksi kepada keindahan semula jadi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles