Persidangan Dewan Negara Luluskan Pindaan Perlembagaan MA63

Oleh Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sarawak
 
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan sokongan sebulat suara kesemua  Ahli Dewan Negara yang hadir pada hari ini.
 
Dalam perbahasan persidangan di Dewan Negara saya menekankan bahawa  pindaan ini adalah penting dalam usaha untuk mengembalikan kedaulatan dan hak rakyat Sarawak serta satu pengiktirafan kepada semangat kesatuan negara antara Sarawak dan Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
Saya juga menekankan bahawa tuntutan Sarawak dan Sabah ke atas haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan untuk kepentingan kedua-dua negeri itu saja, tetapi turut mengambil kira kepentingan Malaysia dan perkara itu diperjuangkan bukan saja untuk Sarawak dan Sabah sahaja malah mengambil kira kepentingan negara supaya Malaysia akan lebih maju dan memiliki semangat perpaduan serta kesepakatan yang tinggi.
 
Usaha ini penting kerana Kerajaan Sarawak perlu mengambil dasar menumpukan kepada usaha pembangunan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyatnya sekali gus dapat mengekalkan kestabilan politik dan kerajaan yang stabil serta dasar yang tidak mahu meminggirkan mana-mana pihak dan ini terbukti walaupun rakyat Sarawak terdiri dari berbilang kaum dan agama namun perbezaan ini menjadi kekuatan kita untuk hidup harmoni dan bersatu padu.
 
Maka dengan pindaan ini status Sabah dan Sarawak dikembalikan ke status awal dan dengan penubuhan Malaysia bermaksud kita harus raikan Hari Malaysia. dengan lebih bermakna.
 
Saya mencadangkan agar kerajaan mengisytiharkan Hari Malaysia sebagai hari keraian secara besar besaran bagi membolehkan semua rakyat Malaysia menghayati erti Malaysia yang sebenar.
 
Selain itu saya juga berpandangan bahawa pengiktirafan status Sabah dan Sarawak sepatutnya bukan hanya pada penulisan dalam Perlembagaan tetapi harus diimplikasikan secara fizikal yakni tumpuan pembangunan lebih adil kepada Sabah dan Sarawak.

Advertisements

Saya membangkitkan supaya usaha untuk melonjakkan pertumbuhan di kawasan kurang membangun di Sarawak perlu dipergiat dan bagi tujuan ini, peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan perlu dinaikkan serta daripada sumbangan negeri kepada pendapat negara, sebanyak 20% harus dikembalikan untuk pembangunan negeri.

Peruntukan ini juga perlu ditumpukan dan ditambah  kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi malah liputan jalur lebar melalui JENDELA juga perlu dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi.
 
Dalam persidangan di Dewan Negara hari ini, saya juga membangkitkan mengenai pembangunan pesat yang sedang berlaku di Kalimantan berikutan pemindahan Ibu Negara Indonesia ke wilayah tersebut.
 
Apa yang menarik pindaan ini adalah tepat pada masanya sejajar dgn pemindahan Ibu Kota Indonesia ke Kalimantan Timur.  Oleh itu Malaysia harus memberi fokus dan tumpuan lebih untuk Sabah dan Sarawak kerana Borneo jelas akan menjadi satu titik fokal baru di ASEAN dan jangkaan total ASEAN GDP  adalah sebanyak AS$1.3 trilion pada 2050 selepas China, Amerika Syarikat dan India.
 
Maka dengan itu saya mencadangkan harus ada pelan pembangunan strategik Sabah dan Sarawak di peringkat pusat untuk kelestarian pembangunan kerana nikmat ini juga akan dinikmati oleh semua negeri di Malaysia secara keseluruhan.

Dengan ini saya berharap Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dapat membentangkan perancangan jangka pendek dan jangka masa sederhana untuk kita melihat perubahan yang akan memberi impak positif kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles