Smart SBB Inisiatif MAFI Tingkatkan SSL Beras Negara, Pendapatan Pesawah

SEBERANG PERAK: Seluas 140 hektar sawah padi di kawasan FELCRA Seberang Perak sedang diusahakan menerusi program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang menjadi salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mempertingkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) iaitu sebanyak 75%.

Advertisements


Inisiatif SMART SBB dijangka dapat meningkatkan pendapatan pesawah sebanyak 47% atau RM2,521 per hektar semusim berbanding kaedah yang telah diamalkan sebelum ini.


Secara umumnya, Program SMART SBB yang telah dilancarkan pada 23 Februari lalu merupakan salah satu inisiatif MAFI dalam menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu sistem pengurusan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai.


Program SMART SBB ini menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 tan metrik pada tahun 2019 kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh RMKe-12.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata program ini tidak membabitkan sebarang tambahan kos kepada Kerajaan malah kesemua syarikat peneraju akan menanggung sepenuhnya kos terlibat serta akan turut menggunakan pelbagai kaedah teknologi baharu atau Internet of Things (IoT) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta ekonomi berskala atau economics of scale dalam penanaman padi untuk meningkatkan hasil per hektar.


“Antara teknologi yang diterapkan adalah penggunaan dron bagi pemantauan yang lebih berkesan dan penyemburan input pertanian seperti baja dan racun. Ini dapat mengurangkan kos penanaman di samping meningkatkan produktiviti hasil pertanian padi.


“Selain itu, ia juga mampu meningkatkan pendapatan pesawah susulan pengurangan penglibatan orang tengah di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara yang dapat dimanfaatkan terus oleh pesawah yang menjadi matlamat utama SMART SBB dilaksanakan,” katanya.


Dr Ronald berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau pelaksanaan tanaman padi menerusi kaedah SMART SBB di FELCRA Seberang Perak, hari ini..


SMART SBB akan melibatkan kawasan penanaman padi dengan sasaran seluas 150,000 hektar bagi fasa pertama secara berperingkat menerusi pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan dan sebagainya.


Pelaksanaan program SMART SBB antara lain membuka peluang kepada Syarikat-Syarikat Peneraju untuk memainkan peranan dalam keseluruhan atau mana-mana peringkat rantaian nilai industri padi dan beras negara.

Terdapat tiga (3) entiti yang akan terlibat secara langsung melalui program ini dengan MAFI iaitu pesawah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Syarikat Peneraju. Setakat ini, terdapat 11 Syarikat Peneraju telah memberi komitmen untuk bersama-sama menjayakan pelaksanaan SMART SBB.

Kesemua syarikat yang terlibat berpengalaman luas dan mempunyai rangkaian dan struktur yang kukuh dalam industri termasuk program-program sedia ada di lapangan bersama pesawah.


Dr Ronald berkata pelaksanaan program ini adalah tepat pada masanya memandangkan pelaburan swasta amat penting bagi menjadikan industri padi dan beras negara lebih kompetitif dan berdaya saing di sepanjang rantaian nilai industri.


“Dengan pelaksanaan SMART SBB ini, jurang di sepanjang rantaian penghasilan beras negara juga dapat dirapatkan dan seterusnya memberi peluang kepada pemain-pemain industri untuk bergerak dengan lebih efisien di dalam sektor padi dan beras,” katanya.


Tambah beliau, secara tidak langsung inisiatif ini dapat merubah landskap industri padi dan beras negara serta mencapai matlamat Kerajaan dalam menjamin sekuriti bekalan makanan negara sepanjang masa.


Di kawasan FELCRA Seberang Perak ini, FGV Integrated Farming Holdings Bhd merupakan salah sebuah syarikat peneraju akan memfokuskan kepada penanaman padi wangi MRQ76 keluaran pihak MARDI dengan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Seberang Perak (IADA Seberang Perak) dan FELCRA Plantation Services Sdn. Bhd yang memberikan pulangan tinggi iaitu sebanyak RM1,540 per tan metrik berbanding padi putih yang dijual sebanyak RM1,200 per tan metrik.


FGV Holdings Berhad turut membangunkan sistem Fragrance Rice Fortified Field atau singkatannya 3FR, yang direka khusus bagi pesawah-pesawah melalui pertanian kontrak. Sistem 3FR ini akan mengintegrasikan aktiviti penanaman padi dengan amalan pertanian pintar bagi meningkatkan hasil tuaian dan kecekapan produktiviti pesawah.

3FR adalah selari dengan konsep Pertanian Tepat (precision farming) yang menggarapkan penggunaan teknologi seperti jentuai transplanter, sistem air berdasarkan Kecerdasan Buatan (artificial intelligence) dan aplikasi mikrob dan bioteknologi yang akan memacu keberhasilan sistem 3FR.


Pesawah yang terlibat dalam program SMART SBB bebas menanam mana-mana varieti padi yang dipersetujui bersama syarikat peneraju sama ada padi putih, padi hibrid, padi wangi atau padi organik.


Dr Ronald turut mengadakan tinjauan ke tapak projek rintis integrasi tanaman padi dan ternakan udang galah yang dilaksanakan oleh IADA Seberang Perak dengan kerjasama syarikat Thirty Three Management Sdn. Bhd untuk meningkatkan pendapatan pesawah.


Pesawah yang terlibat dalam projek ini dijangka mendapat pulangan dianggarkan melebihi RM10,000 dengan jualan hasil padi dan udang galah bagi keluasan satu hektar berbanding hanya hasil padi dengan purata anggaran sekitar RM5,000 pada keluasan yang sama. Projek sama juga dirancang akan diusahakan di kawasan IADA Pekan dan IADA Rompin, Pahang.


Dalam pada itu, Kerajaan juga akan meneruskan semua program input dan output pertanian bersubsidi untuk terus menyokong industri padi dan beras termasuk Insentif Benih padi Sah (IBPS), Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP). Bagi tahun 2021, MAFI telah diperuntukkan RM1.57 bilion melalui Belanjawan 2021 untuk melaksanakan subsidi-subsidi ini.


MAFI juga akan memastikan operasi keseluruhan rantaian aktiviti pengeluaran padi dan beras negara tidak terjejas sepanjang pelaksanaan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi industri padi dan beras yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara, sekaligus menjamin bekalan dan stok beras dalam negara sepanjang masa.


Turut serta dalam sesi tinjauan ini, Timbalan Menteri I MAFI YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri II MAFI YB Dato’ Haji Che Abdullah bin Mat Nawi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham bin Mohd dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Encik Azman bin Mahmood.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles