Ewon Seru Hajiji Panggil Sidang DUN Khas Perkukuh Mesej Autonomi

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick (gambar) menyeru Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor agar mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) secepat mungkin.

Advertisements

Ewon berkata, Sabah tidak perlu menunggu Ordinan Darurat tamat atau sehingga persidangan Parlimen diadakan bagi membolehkan sidang DUN diadakan.

“Banyak perkara perlu dibincang dan dibahaskan di DUN berkaitan dengan isu-isu yang timbul akibat pandemik Covid-19. Antaranya ialah keperluan bagi Sabah melaksanakan SOP sendiri dalam mengawal pandemik ini dan melaksanakan program pemulihan negeri sendiri,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan masih belum memberi maklum balas kepada pengumuman Hajiji berkenaan kelonggaran SOP di Sabah antaranya kebenaran dine-in sejak Isnin lepas.

“Saya tidak nampak political will Kerajaan Negeri yang ada sekarang. Kalau SOP yang dikemukakan tidak diperakukan oleh Kerajaan Persekutuan, bagaimana mungkin Kerajaan Negeri yang ada sekarang ini mahu mengangkat perkara yang lebih besar seperti hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Malaysia?

“Kalau mahu tunggu sidang Parlimen diadakan baru mahu mengadakan sidang DUN, maka nyata sekali Kerajaan Negeri tidak mampu melaksanakan autonomi sendiri. Sebab itu saya gesa Hajiji agar panggil sidang DUN bagi memberi mesej yang kuat kepada Kerajaan Persekutuan,” tambah beliau.

Ewon yang juga Naib Presiden UPKO menyatakan rakyat Sabah pasti menyokong segala usaha dan inisiatif autonomi, tetapi ianya haruslah diterjemahkan melalui political will yang jelas dan kuat.

“Ia tidak seharusnya dibuat melalui pengumuman yang tergantung tanpa sebarang komitmen daripada Kerajaan Persekutuan. Maka sebaiknya panggil sidang DUN dan yakinlah semua ahli dewan akan menyokong usaha autonomi yang mahu dibuat tersebut.

Ewon turut menyatakan bahawa sidang DUN juga seharusnya dibuat sebelum sidang Parlimen diadakan supaya pandangan-pandangan Wakil-Wakil Rakyat Sabah boleh diangkat ke parlimen samada melalui Ahli-Ahli Parlimen atau melalui Kerajaan Negeri.

“Bukan parlimen putuskan, kemudian baru turunkan ke negeri. Seharusnya kita rumuskan di peringkat negeri, contohnya Pelan Pemulihan Negeri Sabah. Apa inisiatif, program dan keperluan yang kita mahu tuntut daripada Persekutuan. Ini yang perlu dimuktamadkan terlebih dahulu,” katanya.

Ewon menyatakan pandangan beliau bahawa Sabah tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada Pelan Pemulihan Negara yang gagal mencakupi keperluan sebenar di Sabah.

“Sabah perlu ada Pelan Pemulihan sendiri, dengan program, bajet dan SOP sendiri. Ini autonomi yang kita perlu muktamadkan di sidang DUN.

“Kenyataan media pelbagai pihak menyokong pengumuman Hajiji berkenaan kelonggaran SOP itu hanya menjadi retorik politik atau setakat menjadi bahan cerita kedai kopi. Jika serius mengenai perkara ini, angkat ia ke sidang DUN yang seharusnya diadakan secepat mungkin dan kita muktamadkan di sana,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles