Salleh Syorkan PKP 3.0 Dijalankan Dengan Serius dan tidak terlalu lama

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpendapat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seharusnya dijalankan dengan lebih serius dan ketat agar ia berkesan dan tidak terlalu lama.

Advertisements

Beliau berkata umum tahu bahawa kerajaan cuba mengimbangi impak covid-19 terhadap kesihatan dan ekonomi, namun segala keputusan yang diambil perlu difikirkan sedalam-dalamnya dengan mengambil kira semua faktor termasuk data-data yang sahih.

Katanya keputusan yang “flip flop” yang sering kali dilihat kebelakangan ini turut memburukkan keadaan dan menimbulkan kemarahan rakyat secara amnya.

Salleh turut menzahirkan sedikit kebimbangan apabila rakyat mula mempersoalkan keberkesanan PKP yang dijalankan.

“Kelonggaran demi kelonggaran dilihat diberikan dan Kerajaan juga semakin tunduk kepada desakan-desakan pihak tertentu yang berkepentingan.

“Saya melihat pihak yang bertanggungjawab haruslah tidak terburu-buru dan gopoh dalam membuat sebarang keputusan selain tidak tunduk dengan desakan mana-mana pihak,”
katanya dalam catatan terbaharu diblognya.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata adalah penting bagi kerajaan bertindak tegas dalam situasi sekarang bagi mengembalikan kredibiliti dan keyakinan rakyat.

Beliau yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia meminta supaya “sebarang keputusan yang dibuat selepas ini haruslah disediakan “comms planning”nya”.

“Ini bagi memastikan supaya mesej yang ingin disampaikan akan lebih mudah difahami bebanding dengan kaedah masa kini yang sekadar tertumpu pada pengumuman, kenyataan dan grafik yang dilihat mengelirukan dan tidak berkesan.

“Terlalu ramai jurucakap juga tidak membantu kerana percanggahan pandangan antara mereka akan menimbulkan persepsi negatif dan menambah kekeliruan pada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak perlu memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP pada kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles