KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan langkah kerajaan melaksanakan PEMERKASA sebagoi tepat pada masanya dan wajar disokong oleh semua pihak.
Beliau berkata langkah pemulihan yang sarat dengan inisiatif untuk melonjakkan kembali ekonomi itu amat diperlukan bagi mengembalikan taraf hidup rakyat.
“Saya melihat langkah ini tepat dan kena pada masanya. Mengambil situasi semasa dari PKP 2.0, penutupan banyak sektor menyebabkan rakyat masih bergelut untuk kelangsungan hidup.
“Pemacuan ekonomi haruslah dimulakan dengan menghidupkan kembali aktiviti perniagaan,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya.
Salleh berkata tindakan kerajaan menyambung Geran Khas Prihatin 3.0 diyakini memberi kelegaan khususnya PKS tempatan yang memerlukan dana permulaan untuk beroperasi semula.
“Ia akan memberi nafas baru kepada PKS tempatan untuk terus bersaing secara sihat. Umum mengetahui, pandemik COVID-19 yang berlarutan turut menyebabkan 2,713 syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa tutup operasi tahun lalu,” katanya.
Katanya kerajaan juga dilihat komited dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perniagaan dengan menambah peruntukan bagi Kemudahan Mikro Kredit .
“Keresahan golongan peniaga bakal terubat apabila skim ini menawarkan had pinjaman lebih tinggi dengan faedah yang lebih rendah berbanding bank.
“Suntikan dana kepada peniaga khususnya PKS amatlah perlu untuk memastikan mereka mampu bertahan dalam situasi yang semakin mencabar ini,” katanya.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menyambut baik inisiatif meransang semula sektor pelancongan kerana “umum tahubsektor ini antara yang terjejas teruk sepanjang wabak COVID-19 melanda negara”.
“Di Sabah sendiri, menurut statistik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu penurunan bilangan pelancong sebanyak 32.6 peratus dicatatkan.
“Ia merupakan peratusan keseluruhan sekitar awal tahun lepas dan bilangan ini dijangka meningkat,” kata beliau.
Melalui PEMERKASA, beliau berkata pengecualian cukai dan geran bantuan akan memastikan industri tersebut terus bertahan.
“Saya yakin industri ini akan bertambah rancak apabila program vaksinasi negara telah mencapai sasaran dan aktiviti meretas negeri dibenarkan semula,” katanya.
Salleh berkata ini membuktikan kerajaan sentiasa berusaha untuk menyeimbangi penyelesaian antara krisis kesihatan dan ekonomi.
“Walaupun dalam norma baharu yang penuh dengan limitasi, kerajaan dilihat terus komited mencari jalan keluar untuk memacu kembali ekonomi negara ke aras yang lebih stabil.
“Tanpa meminggirkan mana-mana golongan PEMERKASA dilihat sebagai wadah terbaik untuk menunjukkan yang kerajaan mahukan ekonomi negara di jana sehebat mungkin walaupun Covid-19 masih belum berakhir,” katanya.