Kaamatan jiwa dan identiti masyarakat KDM – Benjamin  Malakun

Oleh: JST

PENAMPANG: Kaamatan bukan sekadar sebuah pesta atau perayaan tahunan semata-mata, ia adalah jiwa dan identiti masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM).

Pengurus Besar ITCC Penampang, Benjamin Malakun berkata, kaamatan adalah legasi nenek moyang KDM yang mengingatkan kita tentang asalusul, perjuangan generasi terdahulu, serta nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada kehidupan masyarakat kita sejak dahulu lagi.

Katanya, tema kaamatan tahun ini iaitu “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, atau dalam Bahasa Kadazan, “Kaamatan: Mongomot Pisompuuvan, Mamalamai Piunungan”, menyemarakkan semangat Kaamatan mengajar kita tentang kesyukuran, perpaduan dan saling menghormati. 

“Nilai-nilai inilah yang perlu kita terus pertahankan demi memastikan Sabah terus maju dan rakyatnya terus bersatu padu,” katanya pada majlis penutupan Pesta Kaamatan ITCC Penampang 2026, di ITCC Central Atrium, ITCC Penampang, hari ini.

Benjanim, yang juga pengerusi penganjur perayaan itu berkata, sebagai anak jati Penampang, beliau berasa amat bangga melihat semangat kebersamaan dan kekitaan yang sentiasa hidup serta kukuh dalam kalangan masyarakat KDM. 

“Marilah kita terus mempertahankan jati diri dan identiti bangsa kita, memperkukuhkan perpaduan serta membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa penganjur, Tinan Popisamo KDCA Uvang Penampang dan Putatan, para peserta serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini di Hamin Penampang, KDCA dan di ITCC Shopping Mall.

Majlis itu dimeriakan dengan kehadiran pengujung asing antaranya daripada Amerika Syarikat, Australia selain masyarakat setempat.

Turut hadir Pengerusi Executive ITCC-Penampang merangkap Pengerusi Tinan Popisamo KDCA Uvang Penampang, Datuk Seri Panglima Clarence B. Malakun, J.P.; Pengarah Urusan ITCC Penampang, Datin Seri Panglima Sylvia Malakun, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri,Datuk Ceasar Mandela Malakun; Datin Kimmy Tan, Datuk James Ligunjang & Datin, Datuk John Ambrose, Datuk Michael S. Malanjun dan Datuk Edmund Doudilim.

Pelbagai program diadakan sepanjang sebulan perayaan itu berlangsung sejak 6 Mei termasuk acara kemuncak Pertandingan Unduk Ngadau Dazanak, Konsert Ulang Tahun Ke-80 RTM, Sodop Unduk Ngadau,  Pertandingan Nyanyian ITCC, piboian migagung dan sumazau, kempen derma darah, Gundohing Tavatang Pogun Sabah, tarian magunatip Murut, tarian sumazau Penampang, Sazau Papar dan sebagainya.

Benjmain berkata, sesungguhnya kejayaan sesuatu program bukanlah kerana seorang individu, tetapi hasil kerjasama seluruh komuniti yang mempunyai matlamat yang sama.

Bagi pihak pengurusan ITCC Shopping Mall, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir untuk bersama-sama meraikan perayaan yang amat dekat di hati masyarakat KDM, serta seluruh rakyat Sabah. 

Benjamin mengakhiri ucapan dengan mendendangkan pantun,” Ke ITCC kita berkumpul bersama, Meraikan Kaamatan penuh gembira; Budaya dijunjung sepanjang masa, Perpaduan kekal selama-lamanya”. Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan! Kotohuadan! 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles