KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus konsisten memperjuangkan hak-hak Orang Asal bagi memastikan 46 pasal yang terkandung dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Hak-hak Orang-orang Asal (UNDRIP) dilaksanakan di negara ini.
Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, perjuangan itu bagi memastikan hak-hak Orang Asal yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dijadikan dasar kerajaan dan dimasukkan dalam sistem perundangan negara khususnya di Sabah.
“Untuk makluman, Malaysia merupakan salah satu daripada 144 negara yang bersetuju dan menyokong sehingga deklarasi UNDRIP diluluskan dalam Perhimpunan Agung PBB pada 2007.
“Ini bererti hak-hak orang-orang asal di negara ini sudah pun mendapat perlindungan di bawah resolusi UNDRIP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama semasa webinar Bicara Rakyat yang bertemakan sambutan Hari Orang Asal Sedunia, di sini, pada 8 Ogos 2021.
Menurut Madius, UNDRIP merupakan instrumen antarabangsa yang paling komprehensif tentang hal-hak Orang Asal.
“Dalam hal ini, perkara seperti self determination dalam Pasal 3 adalah antara hak-hak Orang Asal yang sangat penting sebab melibatkan hal-hal mengenai identiti.
“Ia bermaksud, identiti kita ditentukan oleh kita sendiri bukannya orang lain. Sekiranya ada mana-mana pihak menggunakan identiti kita seperti menyebut nama kaum dengan tujuan untuk menghina, kita boleh mengambil tindakan ke atas mereka mengikut pasal ini.
“Apabila kita lihat Pasal 8; Pasal 10, 12; Pasal 26; dan Pasal 34, ia juga menjelaskan tentang pembelaan terhadap hak-hak yang dekat dengan kita di Malaysia seperti hak tanah, hak budaya hak pendidikan, bahasa dan sebagainya.
“Sebab itu bagi kita Orang-orang Asal, jangan hanya kerana kita terlambat sedikit mendapat pendidikan, jangan hanya kerana oleh identiti, maka kita boleh dengan sewenang-wenangnya diperlekehkan.
“Ayuh kita bangkit, guna teknologi untuk mengangkat martabat budaya, busana; gunakan teknologi untuk memartabatkan pendidikan, dan mudah-mudahan undang-undang kita dapat dimartabatkan dengan sebaik mungkin,” ujarnya penuh semangat.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran memaklumkan, sambutan Hari Orang Asal Sedunia kali ini merupakan sambutan kali ke-5 diraikan UPKO sejak 2016.
“Kita mahu semua pemegang taruh, bermula daripada pemimpin-pemimpin politik, Ketua-ketua jabatan kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat seterusnya masyarakat madani sedar dan memahami tentang perkara ini.
“Iaitu sedar dan faham tentang hak-hak Orang Asal sepertimana yang terkandung dalam UNDRIP,“ tegasnya.
Webinar yang berlangsung lebih dua jam itu turut menampilkan lima panel jemputan yang membicarakan topik mengikut bidang kepakaran masing-masing.
Antaranya, Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Benedict Topin yang membicarakan mengenai Memulihara Adat Istiadat Sogit.
Pemimpin Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Datuk Suki Mee yang mengupas mengenai Perjuangan Hak, Pencapaian dan Cabaran Orang Asli.
Peguam merangkap Setiausaha Agung UPKO, Nelson W. Angang yang membentangkan tentang Perundangan Mahkamah Anak Negeri dan Perjuangan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Pakar Seni, Budaya dan Adat Momogun, Dr. Paul Porodong dengan tajuk Memartabatkan Eksistensi Etnik-etnik di Sabah.
Serta satu-satunya ahli panel wanita iaitu usahawan busana, Anne Antah dengan perkongsian bertajuk Usaha Mengangkat serta Memartabat Corak-corak Tradisi Sabah pada Busana.