Oleh Ahmad Farid Sainuri, Ketua Penerangan KEADILAN Sabah
KOTA KINABALU: Sebagaimana yang dilaporkan, semua sedia maklum bahawa Ketua Cabang Tuaran dan Semporna telah pun meletakkan jawatan sekaligus meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Buat mantan Ketua Cabang Tuaran dan Semporna, kami mengucapkan terima kasih atas segala jasa dan bakti sepanjang bersama perjuangan parti. Semoga ukhuwah yang terbina terus berkekalan
Dengan kekosongan jawatan Ketua-Ketua Cabang, Cabang Tuaran dan Semporna kini dipangku oleh Timbalan Ketua Cabang masing-masing dan struktur organisasi cabang kekal utuh mendukung agenda reformasi pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim
KEADILAN Sabah juga ingin menegaskan bahawa perubahan dalam kepimpinan tidak akan menjejaskan komitmen parti untuk terus memperjuangkan hak-hak Sabah, khususnya berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan agenda reformasi institusi demi kepentingan rakyat Sabah
KEADILAN Sabah kekal komited bersama memperjuangkan MA63 bukan agenda baharu, malah telah diperjuangkan sejak awal penubuhan parti melalui Artikel 5.8 Perlembagaan Parti serta menjadi manifesto utama Pakatan Harapan dalam setiap pilihan raya dan kini sedang giat dilaksanakan di bawah Kerajaan MADANI melalui pelbagai langkah dasar dan pentadbiran yang memberi manfaat secara langsung kepada Sabah dan Sarawak
Di bawah Kerajaan MADANI, reformasi MA63 mencatat kemajuan terbaik apabila 13 daripada 29 tuntutan berjaya diselesaikan dan 9 daripadanya dicapai dalam tempoh pentadbiran hari ini. Antaranya termasuk pengiktirafan JKR dan JPS Sabah Sarawak di bawah AP182, penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik kepada Sabah, pengukuhan pentadbiran kehakiman Sabah dan Sarawak, pindaan Ordinan Buruh serta penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada pelabuhan negeri Sarawak
Kerajaan MADANI juga meningkatkan geran khas interim Sabah dan Sarawak daripada RM125.6 juta kepada RM600 juta, selain memperuntukkan RM6.9 bilion pembangunan untuk Sabah tahun ini termasuk projek bekalan air, elektrik dan Pan Borneo
Terkini, penyelesaian 40% Hak Sabah di bawah Kerajaan Madani telah pun diperingkat antara Kerajaan dengan Kerajaan (Government to Government) yang diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP). Semua ini membuktikan bahawa perjuangan reformasi dan MA63 sedang dilaksanakan secara konsisten, demokratik dan berteraskan prinsip keadilan demi kepentingan rakyat
Kami percaya proses keluar masuk dalam politik adalah sebahagian daripada amalan demokrasi matang. KEADILAN Sabah akan terus bergerak ke hadapan dengan saf kepimpinan baharu serta semangat perjuangan yang kekal utuh demi kestabilan politik tanah air
