KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengecam tindakan seorang aktivis belia dan mahasiswa yang didakwa mengeluarkan kenyataan serta hantaran di media sosial yang melampaui batas kesopanan dan mengabaikan kedudukan undang-undang berkaitan hak autonomi imigresen Sabah.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda, berkata kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam sistem demokrasi, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina, menghasut atau membuat tuduhan tanpa asas terhadap institusi kerajaan dan kepimpinan negeri.
Beliau berkata, keputusan Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sarafi, ke Sabah perlu dihormati kerana dibuat berdasarkan kuasa autonomi imigresen yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Akta Imigresen.
Menurutnya, autonomi imigresen Sabah bukan keistimewaan politik, sebaliknya hak perlembagaan yang lahir daripada syarat pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus membolehkan kerajaan negeri mempertimbangkan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kepentingan negeri sebelum membenarkan kemasukan seseorang ke Sabah.
“Semua pihak perlu menghormati setiap keputusan berkaitan kemasukan individu ke Sabah selagi ia dibuat mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Redonah berkata, hak berhimpun dan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tetap tertakluk kepada undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut menolak sebarang dakwaan yang disifatkan cuba membentuk persepsi negatif terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sambil menegaskan kerajaan negeri terus komited memperkukuh tadbir urus dan integriti menerusi pelbagai inisiatif termasuk Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Pelan Integriti Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PIPANS), Governance, Integrity and Anti-Corruption (GIA) serta BIGoNS.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya menghormati institusi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan mengamalkan budaya demokrasi yang matang berasaskan fakta, undang-undang serta rasa hormat terhadap institusi negara.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk melanggar undang-undang. Demokrasi yang matang menuntut kebebasan disertai tanggungjawab,” katanya.
