KUALA LUMPUR, 02 Julai– Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau terus memperjuangkan isu kesesakan lalu lintas yang membelenggu pengguna jalan raya susulan penutupan Jambatan Tamparuli (Low Level Crossing).
Terbaru, beliau pada Isnin telah membangkitkan perkara itu dalam sesi Pertanyaan Lisan kepada Menteri Kerja Raya pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat.
Dalam soalannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menyatakan langkah alternatif bagi mengurangkan kesesakan jalan akibat penutupan jambatan berkenaan.
“Penutupan ini telah memberi kesan yang ketara dan menyebabkan kesesakan di Jalan Telibong – Pekan Tamparuli dan laluan utama Jalan Tamparuli-Ranau,” tegas Madius.
KKR dalam satu jawapan bertulis menjelaskan, semakan kementerian menerusi Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR Sabah) mendapati jambatan itu di bawah bidang kuasa JKR Sabah serta diselenggara oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.
“Penutupan fasiliti tersebut terpaksa dilakukan memandangkan strukturnya telah mengalami kerosakan dan menuntut kerja baik pulih yang segera.
“Kementerian memberikan jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang penghujung bulan September 2026.
“Berdasarkan jadual perancangan, jambatan tersebut dijangka akan dibuka semula untuk kemudahan pengguna pada awal bulan Oktober 2026,” jelas KKR.
Sepanjang tempoh penutupan, kementerian itu menyarankan orang awam menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Bontoi-Tamparuli dan Jalan Kota Kinabalu-Kudat bagi menyuraikan kesesakan lalu lintas.
Dalam pada itu, KKR memaklumkan bagi pelan penyelesaian jangka panjang, jambatan Low Level Crossing itu bakal dinaik taraf kepada sebuah jambatan yang kekal.
“Cadangan projek naik taraf tersebut telah berjaya mendapat kelulusan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12).
“Di samping itu, KKR juga telah mengangkat permohonan untuk “Projek Menggantikan Jambatan Tamparuli (Sg. Tuaran) KM35.78 Jalan Kota Kinabalu – Kudat, Tuaran” supaya diluluskan oleh Agensi Pusat melalui Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RP2 RMK13).
“Walau bagaimanapun, nasib dan keputusan rasmi bagi permohonan projek tersebut hanya akan diputuskan serta dimaklumkan kepada umum selepas sesi pembentangan Bajet Kerajaan tahun 2027 kelak,” tambah kementerian itu lagi.
