GRS dicabar dedah semua dokumen kelulusan permohonan Lincah Hebat Sdn. Bhd, kelulusan diberikan oleh GRS

Kenyataan media Datuk Mohd Azis Bin Hj Jamman, Ketua Penerangan Warisan Pusat

KOTA KINABALU: Merujuk kepada dakwaan kononnya Kerajaan WARISAN telah meluluskan kawasan berskala besar kepada Lincah Hebat Sdn. Bhd., saya ingin menjelaskan perkara berikut:

Surat bertarikh 31 Januari 2019 bukan Surat Kelulusan

Dokumen yang tular itu hanyalah surat akuan penerimaan (acknowledgement letter) yang dikeluarkan oleh Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Ketua Menteri. Ia bukan surat kelulusan.

Seperti dijelaskan sendiri oleh mantan Setiausaha Hasil Bumi, Datuk Haji Mohd Salleh Bin Haji Abbas:

“Sebagai makluman dan penjelasan kepada semua pihak mengenai surat viral pada ketika ini yang dikeluarkan kepada Lincah Hebat Sdn Bhd semasa saya memegang jawatan Setiausaha Hasil Bumi, surat itu jelas menunjukkan bahawa ia hanyalah sekadar surat maklum balas biasa dalam melayani setiap surat menyurat pelanggan atau orang awam. Sebagai agensi kerajaan yang bertindak secara profesional, adalah menjadi proses biasa apabila ada surat permohonan samada oleh individu atau syarikat, pihak jabatan akan mengeluarkan surat pengesahan penerimaan dan bukan Surat Kelulusan.

Surat yang diviralkan itu jelas menyebut bahawa surat permohonan dalam proses penelitian dan akan dimaklumkan jika ada perkembangan.”

Ini bermaksud permohonan yang diterima belum melalui proses penilaian dan tidak pernah diberi sebarang kelulusan pada ketika itu.

Kelulusan Diberikan Semasa Pemerintahan Kerajaan GRS

Berdasarkan rekod, lesen kelulusan melombong untuk Lincah Hebat Sdn. Bhd. hanya dikeluarkan pada 20 Januari 2025, sewaktu pentadbiran Kerajaan GRS.

Justeru, sebarang dakwaan yang cuba menuding jari kepada Kerajaan WARISAN adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Jika GRS benar-benar tidak bersetuju dengan permohonan tersebut, mengapa mereka meluluskan lesen itu lima tahun kemudian?

Maka rakyat Sabah perlu tahu:

  • Siapa pemilik sebenar Lincah Hebat?
  • Siapa yang melobi untuk lesen itu?
  • Siapa yang akan untung daripada projek perlombongan ini?
  • Adakah terdapat kepentingan politik atau kronisme tersembunyi?

Tindakan Mengalihkan Isu
Percubaan untuk mengaitkan Kerajaan WARISAN dengan kelulusan yang jelas berlaku di era pentadbiran GRS adalah amat dikesali.

Tindakan sebegini memperlihatkan seolah-olah terdapat usaha untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar yang dihadapi Kerajaan GRS berkaitan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Kesimpulannya, surat yang bertarikh 31 Januari 2019 itu tidak lebih daripada prosedur biasa jabatan kerajaan dalam mengesahkan penerimaan permohonan mana-mana pihak. Ia bukan satu bentuk kelulusan rasmi.

Bukti jelas menunjukkan bahawa lesen sebenar dikeluarkan pada 20 Januari 2025 oleh Kerajaan GRS.

Jika GRS yakin mereka telus, saya cabar mereka untuk mendedahkan semua dokumen kelulusan, termasuk laporan impak alam sekitar, nama pemilik syarikat, dan justifikasi pemberian lesen. Biar rakyat nilai sendiri.

Isu ini soal siapa yang mengurus sumber bumi Sabah untuk kepentingan rakyat, dan siapa yang menjadikannya peluang untuk memperkaya golongan tertentu.

Kami menyeru semua pihak supaya meneliti fakta dengan teliti dan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas. Kerajaan WARISAN menegaskan komitmen untuk memerintah dengan telus dan sentiasa bersedia menjawab sebarang persoalan demi kepentingan rakyat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles