Ewon rasmi Tamu Desa Pekan Tenghilan bernilai hampir RM200,000

TUARAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, merasmikan Tamu Desa Pekan Tenghilan yang siap sepenuhnya pada 28 September tahun lalu dengan kos hampir RM200,000.

Advertisements

Beliau berkata, Projek Bina Baharu Infrastruktur Tamu Desa itu adalah satu daripada 93 projek Tamu Desa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Sabah dan Sarawak pada tahun lalu.

“Tamu Desa ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang saya laksanakan di KUSKOP yang antara lainya memberi fokus tambahan kepada kedua-dua negeri itu tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian di seluruh negara.

“Bermula tahun lepas, Kerajaan Madani telah memperuntukkan sejumlah peruntukan dalam Belanjawan 2024 untuk memulakan pembinaan premis Tamu Desa.

“Pembinaan Tamu Desa ini menggunakan konsep yang berlainan, sama ada berkonsep gerai atau dewan terbuka dan dibina baharu atau menaik taraf tamu sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Premis Tamu Desa Pekan Tenghilan, di Tapak Tanah Persatuan Keluarga Keturunan Damit (KKD)Tenghilan dan Perasmian Pejabat KOP-KKD, Koperasi Koisaan Damit Tenghilan Sabah Berhad, di sini, hari ini.

Ewon berkata, pelaksanaan Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada usaha kerajaan melalui KUSKOP memberikan fokus tambahan kepada kedua-dua negeri itu.

“Selain itu, kita juga memperkenalkan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera atau Bumiputera Entrepreneurs Enhancement Program (BEEP PLUS) iaitu geran khusus untuk usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak

“Pada tahun lepas, kementerian telah menyalurkan pembiayaan kepada 113 syarikat di Sabah dan 50 buah syarikat bumiputera di Sarawak melibatkan nilai geran lebih RM13 juta.

“Ini adalah sebahagian daripada tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak khususnya para usahawan yang KUSKOP sediakan,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini, kementeriannya akan meneruskan BEEP Plus dan pelaksanaan Premis Tamu Desa di kedua-dua negeri itu.

Turut hadir Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, Penaung KKD merangkap Penasihat KOP-KKD Datuk Wilfred Mojilip Bumburing, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Haji Effendy O.P Andu, Pegawai Daerah Tuaran Herman Tunggiging, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli Hannevy W.Hary dan para pemimpin setempat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles