KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Aching dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah (RISDA) Semaian dan Landskap Sdn.Bhd, salah satu sebuah anak Syarikat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah.
Pelantikan beliau yang ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkuatkuasa 15 Janurai lepas.
Siti Aminah yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi digugurkan selepas Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim membuat rombakan kabinet pada 12 Disember tahun lepas.
Tempat Aminah di isi oleh Ahli Parlimen Kinabalu Datuk Chan Foong Hin yang sebelum itu merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Sementara itu, Siti Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno ketika dihubungi di Kuala Lumpur kemarin, turut mezahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Timbalan Perdana Menteri melantik beliau untuk menerajui sebuah anak Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd.
“Saya amat menghargai kepercayaan ini, dan berusaha melakukan yang terbaik untuk kepentingan RISDA secara keseluruhannya yang mana ianya amat dekat dengan masyarakat luar bandar khususnya kepada penanam getah,” katanya.
Mengakui tugas ini sebagai sesuatu yang baharu bagi beliau, namun dengan pengalaman hampir 2 tahun berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Perladangan dan Komoditi, Aminah berikrar akan memanfaatkan pengalaman tersebut untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanah bagi membantu RISDA mencapai tahap kecermalangan yang diharapkan oleh rakyat khususnya para pekebun kecil getah
“Bidangnya sama dalam bidang pertanian, cuma RISDA diletakkan di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah namun dari segi fungsi dan bidang tugas ianya menjurus kepada bidang pertanian khususnya dalam bidang perladangan dan industri getah yang berkaitan dengan tugas yang saya sandang sebelum ini di Kementerian Komoditi dan Perladangan,” katanya.