AKSYAH DAKWA WARISAN PUNCA KELEWATAN PAN BORNEO

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan Warisan Plus menamatkan kontrak model Project Delivery Partner (PDP) bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah pada September 2019 didakwa menjadi punca utama kemelut pelaksanaan projek itu, yang sepatutnya siap sepenuhnya pada penghujung 2021.

Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata tindakan ketika pentadbiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, itu menjejaskan pelaksanaan baki 20 daripada 35 pakej kerja projek sepanjang 706 kilometer berkenaan.

Beliau mendakwa, penamatan kontrak itu mencetuskan pelbagai masalah teknikal, pertikaian undang-undang kontrak serta menjejaskan keupayaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengambil alih pelaksanaan projek secara konvensional.

Mengulas laporan mengenai kelewatan projek itu yang dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026, Aksyah mempersoalkan tindakan penyokong Warisan yang menggunakan isu berkenaan untuk menyerang kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Siapakah yang memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah dari pertengahan 2018 sehingga akhir 2020? Bukankah itu era pentadbiran Warisan Plus pimpinan Shafie?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Aksyah turut mengkritik alasan Shafie yang dilaporkan tidak berpuas hati dengan model PDP di Sabah kerana syarikat berkenaan diketuai individu berlatar belakang politik, iaitu Datuk Ir Shahelmey Yahya, yang ketika itu merupakan pemimpin Pemuda UMNO Sabah.

Beliau berkata, pelantikan Shahelmey sebagai Pengarah Urusan syarikat PDP itu bukan semata-mata berdasarkan latar belakang politik, sebaliknya mengambil kira kelayakan profesional dalam bidang kejuruteraan serta pengalaman teknikalnya.

Aksyah turut mempersoalkan tindakan Warisan mempertikaikan pelantikan itu atas faktor politik, sedangkan menurutnya, parti berkenaan juga melantik pemimpin politik sebagai menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau turut membangkitkan pelantikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah ketika pentadbiran Shafie yang didakwanya mempunyai unsur nepotisme, selain mendakwa amalan kedaerahan dalam pelantikan jawatan ketika itu dikenali sebagai “Sempornanisasi”.

Mengenai perbandingan Shafie terhadap pelaksanaan projek Pan Borneo di Sarawak, Aksyah berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai persediaan kewangan kukuh dan pelan pelaksanaan teknikal sebelum menamatkan model PDP.

“Benar, Sarawak juga bersetuju membatalkan model PDP, tetapi GPS bukan tin kosong seperti Warisan,” katanya, sambil mendakwa kerajaan Warisan Plus menamatkan kontrak berkenaan tanpa pelan luar jangka mencukupi dan membiarkan baki pakej kerja berdepan masalah pelaksanaan.

Menurutnya, keputusan itu menjadi punca utama masalah projek, lebih-lebih lagi apabila baki pakej kerja terjejas sebelum negara berdepan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Aksyah turut mempersoalkan perbelanjaan projek berjumlah RM10.547 bilion, bersamaan 94.6 peratus daripada peruntukan RM11.153 bilion bagi tempoh 2016 hingga Mac 2026, sedangkan kemajuan fizikal projek masih ketinggalan.

“Saya yakin Hajiji amat mengalu-alukan siasatan telus ini. Nothing to hide (tiada yang perlu disembunyikan). Biar PAC panggil saksi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR Sabah untuk meneliti ke mana wang itu mengalir sewaktu tempoh penutupan kontrak PDP era Warisan,” katanya.

Beliau berkata, PAC juga perlu meneliti syarikat yang mendapat manfaat daripada penamatan kontrak itu, yang menurutnya meninggalkan masalah pelaksanaan projek untuk ditangani kerajaan negeri hari ini.

Aksyah berkata, kerajaan GRS pimpinan Hajiji berusaha mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada penghujung 2020.

Menurutnya, kemajuan fizikal LPB Sabah Fasa 1A mencapai 89.54 peratus setakat September 2026, manakala lapan pakej sepanjang 177 kilometer dijadual dibuka secara berperingkat sebelum penghujung tahun ini. Baki pakej Fasa 1B pula sedang dipercepatkan mengikut jadual baharu.

Beliau menggesa supaya laporan audit itu tidak digunakan untuk mengelirukan rakyat, sebaliknya prosiding PAC dimanfaatkan bagi membongkar punca sebenar kelewatan projek serta pihak yang bertanggungjawab.

“Jangan ingat bila pengerusi PAC membaca laporan kepincangan yang bermula dari zaman pemerintahan kamu, kamu boleh berlagak suci seperti malaikat yang baru keluar dari gua,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles