Azizah seru parti tempatan pertahankan kerjasama demi Sabah

KOTA KINABALU, Parti-parti tempatan perlu terus memperkukuh dan mempertahankan kerjasama demi memastikan agenda serta perjuangan untuk rakyat Sabah dapat direalisasikan, kata Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk SerimAzizah Mohd Dun.

Beliau berkata kerjasama itu penting, termasuk dalam memperjuangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.

“Apabila parti-parti tempatan bergabung dan bekerja kuat sebagai satu pasukan, kita dapat memastikan perkara yang diperjuangkan untuk rakyat Sabah menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita GRS berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Exco Wanita UPKO yang diketuai Ketua Wanita UPKO, Mohina Ronnie Sidom, di Wisma IDS di sini pada Khamis.

Azizah berkata semua pihak perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan perbezaan bagi mengekalkan kerjasama serta mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pembentukan GRS yang menghimpunkan parti-parti tempatan mencerminkan kematangan politik di Sabah dan membolehkan semua pihak mencari titik persamaan bagi mengukuhkan kedudukan negeri dalam Malaysia.

“Semangat ini selari dengan prinsip Sabah First dan hala tuju Sabah Maju Jaya. Dengan kerjasama yang kukuh, kita dapat melaksanakan usaha untuk kemakmuran dan kemajuan negeri. Sebab itu, gabungan ini mesti kita pertahankan,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Wanita UPKO, Prisca Papaya; Penolong Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belinda; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Julia Abu Bakar Titingan serta barisan Exco Wanita UPKO.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles