Maximus Mungkin Lupa Ingatan, PBS Juga Keluar BN, Sokong Katak-Katak dari Warisan Plus, Sokong Langkah Sheraton Tumbang Kerajaan PH Pilihan Rakyat

Gambar Hiasan

Advertisements

Oleh Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

KOTA KINABALU: Pertama sekali saya ingin memberikan definisi “lompat parti” seperti mana yang termaktub dalam Akta Lompat Parti yang diluluskan oleh Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, ia itu bahawa perbuatan lompat parti itu merupakan perbuatan seseorang wakil rakyat yang keluar atau bertukar parti dan bukannya tindakan suatu parti, keluar dari gabungan parti politik.

Saya berasa hairan, bagaimana, Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili sebagai seorang menteri kabinet tidak memahami konsep dan definisi lompat parti ini sedangkan beliau berada dalam kabinet persekutuan yang membincangkan dan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat parti, malah beliau juga turut hadir semasa Sesi Pembentangan di Dewan Rakyat.

Secara peribadi, saya juga sedih dengan keputusan yang diambil oleh mendiang Datuk Payar Juman pada tahun 1967. Mengikut definisi yang saya terangkan tadi, sememangnya benar, itu adalah perbuatan melompat parti malah UPKO menjadi mangsa kepada pengkhianatan tersebut yang telah menjadi pemangkin kepada pembubaran UPKO pada tahun 1968.

Walau bagaimanapun, ia sama sekali tidak sama dengan keputusan UPKO keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 2018. Saya dan rakan-rakan dalam UPKO tetap dan masih bersama UPKO dari dahulu hingga kini. Kita tidak pernah meninggalkan UPKO tetapi hanya keluar dari gabungan BN, iaitu suatu keputusan yang telah dibuat secara sebulat suara oleh Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UPKO.

Harus diingat, bukan sahaja UPKO yang bertindak keluar BN, malah selepas beberapa minggu keputusan UPKO, PBS sendiri pun turut mengambil keputusan untuk keluar dan meninggalkan BN. Seterusnya, LDP, PBB, GERAKAN, PRS, SUPP, dan SPDP juga keluar dari BN. Kalau langkah UPKO itu dianggap lompat maka tindakan PBS keluar BN juga adalah perbuatan melompat. Kenapa Kami saja yang di buruk-burukkan?

Dan lebih teruk lagi ialah parti-parti tersebut terlibat dalam pengkhianatan yang besar terhadap rakyat apabila menyertai pasukan kerajaan pintu belakang dalam langkah Sheraton. Bukankah dengan menerima jawatan menteri itu satu tindakan bersekongkol dan menghalalkan langkah Sheraton? Bukankah itu bermaksud bersetuju dengan perbuatan melompat parti? Prinsip apa yang Maximus pakai ini?.

Seluruh negara mengetahui bahawa desakan terhadap penggubalan RUU Anti lompat parti ini adalah akibat daripada langkah Sheraton yang telah mengakibatkan ketidakstabilan politik negara yang kesannya amat dirasai oleh setiap rakyat Malaysia sehingga pada hari ini.

Justeru, saya pada kesempatan ini juga ingin menasihatkan Maximus agar tidak terus menerus menjadi hipokrit dan berkali-kali membohongi rakyat. Kononnya, Maximus dan PBS tidak menyokong dan menghalalkan perbuatan lompat parti!

Selain menghalalkan langkah Sheraton, PBS juga secara terang-terangan bersama-sama berkumpul di kediaman bekas Ketua Menteri Musa Aman, untuk meraikan kehadiran para ADUN yang melompat dari kerajaan Gabungan Warisan-PH-UPKO pada Julai 2020 yang akhirnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah pada ketika itu. Ini bukti kukuh PBS menghalalkan perbuatan lompat parti.

UPKO, berpegang pada prinsip menentang sekeras-kerasnya perbuatan melompat parti. Atas prinsip dan pendirian tersebut UPKO bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) telah membuat MOU dengan kerajaan untuk memastikan reformasi dan kestabilan politik yang melibatkan reformasi undang-undang termasuklah undang-undang anti lompat parti digubal untuk menyelamatkan negara ini daripada perbuatan yang boleh menghancurkan masa depan negara.

Dalam MOU PH – Kerajaan, syarat utama yang kita tetapkan ialah memastikan reformasi parlimen termasuklah RUU Akta Lompat Parti dibentangkan dan sekaligus diluluskan. UPKO yang diwakili oleh saya sendiri telah menjadi salah seorang sebagai penandatangan kepada MoU ini. Ini adalah bukti yang nyata tentang prinsip dan pendirian UPKO.

Daripada membuang masa membuat kenyataan yang tidak berasas lebih baik Maximus bekerja keras melaksanakan MA63 yang dia janjikan dalam masa 6 bulan. Selaku Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Maximus harus menyelesaikan secara tuntas pendirian kontroversi Kerajaan Persekutuan bahawa hak Sabah menerima 40 peratus daripada pungutan hasil bersih persekutuan daripada Sabah sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai.

Apa pendirian Maximus dan PBS dalam perkara ini? Apakah kamu menyokong penghakisan hak Sabah tersebut? Sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, kita masih belum melihat apa-apa tindakan Maximus berhubung perkara ini?. Bagi kami Wakil-wakil rakyat Sabah dalam PH langkah sebaik-baik mungkin untuk mencari penyelesaian ialah tindakan mahkamah dan kami telah pun mengambil tindakan undang-undang untuk memastikan hak Perlembagaan Sabah dihormati dan dipenuhi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles