MADIUS BANGKITKAN ISU KELEWATAN PROJEK JALAN MANTOB–GONIPIS DI DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, membangkitkan isu kelewatan pelaksanaan projek Jalan Mantob–Gonipis yang masih belum menunjukkan kemajuan kerja seperti yang diharapkan walaupun projek berkenaan sepatutnya disiapkan pada Mac 2026.

Ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat, beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, kerja-kerja di tapak masih berjalan perlahan dengan jumlah jentera yang terhad.

Madius mempersoalkan proses pemilihan kontraktor bagi projek berkenaan, khususnya sama ada kemampuan kewangan, tenaga kerja, kemudahan jentera serta jumlah projek yang sedang dikendalikan kontraktor telah dinilai sebelum kontrak diberikan.

“Bagaimana kontraktor ini dipilih? Adakah kemampuan kewangan, pekerja, jentera dan beban projeknya diperiksa? Apa tindakan kementerian sekarang, dan bila jalan ini akan siap?” katanya.

Beliau berkata, kementerian perlu memberikan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil terhadap kontraktor serta menetapkan tarikh penyelesaian yang jelas supaya penduduk tidak terus menanggung kesan kelewatan projek berkenaan.

Dalam masa sama, Madius turut membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya pakatan kartel dalam pemberian kontrak projek pembangunan luar bandar.

Beliau meminta kementerian menyiasat kemungkinan terdapat syarikat tertentu yang menerima terlalu banyak projek sehingga tidak mempunyai keupayaan mencukupi untuk menyiapkan kerja mengikut jadual.

Menurutnya, kelewatan projek infrastruktur bukan sekadar masalah pelaksanaan kontrak, sebaliknya memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat setempat.

“Orang kampung terus menanggung kesusahan. Anak-anak perlu ke sekolah, petani membawa hasil dan orang sakit mendapatkan rawatan,” katanya.

Madius turut menggesa KKDW mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan projek pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan lebih berkesan, termasuk memperketat penilaian keupayaan kontraktor sebelum sesuatu projek diberikan.

Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya terus menanggung kesusahan akibat kelewatan projek yang sepatutnya memberikan kemudahan dan meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles