INANAM: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Likas bernilai RM125 juta, yang melibatkan kawasan Kolombong dan Inanam bakal memanfaatkan ratusan ribu penduduk dengan mengurangkan risiko banjir.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Inanam Gundohing Nickho Unui berkata peruntukan sebesar itu menunjukkan kesungguhan kerajaan menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu masyarakat setempat.
Menurutnya pelaksanaan projek itu dimulakan pada Mei 2026 dan dijangka siap pada 29 September 2028.
Katanya projek tebatan banjir tersebut merupakan pembangunan infrastruktur yang amat dinantikan oleh masyarakat Inanam, Kolombong dan kawasan sekitarnya.
DUN Inanam termasuk dalam kawasan Parlimen Sepanggar yang kini diwakili Datuk Mustapha Sakmud.
“Sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN N.18 Inanam, saya menyambut baik perkembangan pelaksanaan projek ini dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas komitmen menyediakan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah banjir yang sering menjejaskan kehidupan, kediaman dan aktiviti ekonomi penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam hal ini, Nickho menolak tanggapan segelintir pemimpin politik yang cuba memberi gambaran bahawa kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.
“Kalau nak kritik biarlah berdasarkan fakta dan jangan nafikan usaha yang sedang dilaksanakan.
“Kita perlu berlaku adil dalam memberikan penilaian. Hakikatnya, peruntukan telah diluluskan dan projek sedang dilaksanakan,” katanya.
Oleh itu, Nickho berkata adalah tidak tepat untuk menggambarkan seolah-olah tiada usaha dilakukan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu.
“Kita tidak menolak hak demokrasi mana-mana pihak untuk mengkritik kelewatan atau kelemahan pelaksanaan sesuatu projek.
“Malah, teguran yang membina amat diperlukan bagi memastikan setiap projek pembangunan benar-benar mencapai matlamatnya.
“Jangan kerana perbezaan politik, usaha yang sedang dilaksanakan untuk kepentingan rakyat dinafikan.
“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi dalam soal keselamatan dan kebajikan rakyat, kita seharusnya mempunyai matlamat yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, Nickho mengakui pelaksanaan projek itu berdepan dengan beberapa cabaran utama.
Beliau berkata ini termasuk proses pengalihan dan pemindahan kediaman yang terletak di sepanjang jajaran sungai serta kawasan yang dikenal pasti bagi pembinaan kolam takungan banjir.
Katanya keadaan itu memerlukan penelitian khusus kerana sebahagian kawasan yang terlibat telah didiami oleh penduduk tempatan.
“Saya memahami bahawa pengosongan kawasan tertentu mungkin diperlukan bagi membolehkan kerja pembinaan dilaksanakan dengan selamat dan lancar.
“Namun, kepentingan projek tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan kebajikan keluarga yang terkesan,” katanya.
Sehubungan itu, Nickho menggesa kementerian berkaitan, pihak penyedia peruntukan, agensi pelaksana dan pihak berkuasa tempatan supaya memberikan perhatian serius terhadap keperluan penempatan semula penduduk.
“Antara perkara yang wajar dipertimbangkan termasuk bantuan perpindahan, penyediaan tempat tinggal alternatif yang bersesuaian, penilaian kelayakan pampasan berdasarkan peruntukan undangundang serta penyelarasan bantuan kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.
Nickho berkata projek itu hendaklah dilaksanakan melalui rundingan yang telus, adil dan berperikemanusiaan.
“Kita mahu masalah banjir diselesaikan, tetapi jangan sampai usaha menyelamatkan ribuan penduduk daripada ancaman banjir menyebabkan keluarga lain kehilangan tempat tinggal tanpa penyelesaian yang munasabah.
”Saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera supaya pelaksanaan projek tidak terus terjejas dan kebajikan penduduk dapat dipelihara,” katanya.
Menurut Nickho, usaha merealisasikan projek tebatan banjir itu diperjuangkan sejak 2023 lagi bersama ADUN DUN Inanam pada ketika itu Datuk Peto Galim.
“Pada tahun 2023, saya sendiri telah bersama mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Inanam, Datuk Peto Galim, mengadakan pertemuan dengan mantan Timbalan Menteri Kementerian PeralihanTenaga Dan Transformasi Air (PETRA) pada ketika itu YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Bin Mohd Nasir bertanggungjawab terhadap hal ehwal sumber air pada ketika itu.
“Pertemuan tersebut bertujuan mempercepatkan pelaksanaan projek yang sudah diutarakan, terutama melibatkan Sungai Likas, Inanam, Kolombong serta Menggatal.
“Susulan usaha dan perbincangan bersama pihak kerajaan, projek ini kemudiannya mendapat kelulusan pada tahun 2024.
“Pada peringkat awal, pelaksanaan projek dijangka bermula pada awal tahun 2025. Bagaimanapun, beberapa isu teknikal telah menyebabkan jadual pelaksanaan mengalami kelewatan.
“Syukur, pada Mei 2026, projek ini akhirnya dapat dimulakan sepenuhnya.
“Bagi saya, perkembangan ini merupakan hasil usaha berterusan pelbagai pihak yang mempunyai matlamat sama, iaitu memastikan masalah banjir yang sekian lama membebankan penduduk dapat ditangani secara lebih berkesan,” katanya.
Nickho turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri pada Oktober 2025 berhubung peruntukan tambahan sebanyak RM39 juta bagi Projek Tebatan Banjir Fasa 2 yang melibatkan Sungai Rampayan sehingga ke kawasan Muara Numbak.
“Dengan mengambil kira kedua-dua peruntukan yang diumumkan, jumlah keseluruhan mencapai RM164 juta bagi usaha tebatan banjir di kawasan Sepanggar.
“Saya berharap pelaksanaan kedua-dua projek ini akan memberikan manfaat besar kepada penduduk, khususnya di Pekan Inanam, Kampung Inanam Laut, Kampung Cenderakasih, kawasan Kolombong, Taman Wijaya Park, Kampung Rampayan dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Nickho berkata walaupun pembinaan infrastruktur tebatan banjir dilaksanakan, namun ia tidak semestinya dapat menyelesaikan semua kejadian banjir.
“Apapun, saya percaya projek ini berpotensi mengurangkan risiko, kekerapan dan kesan banjir dengan ketara sekiranya dilaksanakan mengikut perancangan serta disokong oleh penyelenggaraan sistem saliran yang berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, Nickho menzahirkan ucapan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peruntukan bagi projek tebatan banjir yang amat diperlukan oleh masyarakat khasnya di Parlimen Sepanggar.
“Penghargaan turut saya tujukan kepada YB Datuk Mustapha Sakmud, Ahli Parlimen Sepanggar, atas sokongan dan usaha beliau dalam membawa keperluan pembangunan kawasan Parlimen Sepanggar ke perhatian pihak kerajaan.
“Sesungguhnya, pembangunan untuk rakyat memerlukan kesinambungan usaha, kerjasama dan tanggungjawab bersama.
“Sebagai PPM DUN N.18 Inanam, saya akan terus memberikan perhatian terhadap perkembangan projek ini, khususnya perkara yang melibatkan kepentingan penduduk setempat.Kepada semua pihak, termasuk pemimpin politik, marilah kita memberikan ruang kepada pelaksanaan projek ini sambil terus menjalankan tanggungjawab menegur secara membina apabila terdapat perkara yang memerlukan penambahbaikan.
“Rakyat tidak memerlukan pertikaian politik yang berpanjangan mengenai siapa yang paling banyak bercakap tentang banjir. Rakyat memerlukan tindakan, penyelesaian dan jaminan bahawa keselamatan serta kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan.
”Akhirnya, saya berharap kedua-dua projek tebatan banjir ini dapat disiapkan dengan jayanya dan memberikan manfaat berpanjangan kepada generasi hari ini serta generasi akan datang.
“Hargai usaha kerajaan, perbetulkan kelemahan pelaksanaan dan jangan sekali-kali abaikan kebajikan rakyat. Pembangunan yang sebenar bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi memastikan rakyat turut terbela,” katanya.
