JANGAN LENGAHKAN LAGI HAK 40 PERATUS MILIK SABAH : VICTOR

TAMBUNAN : Tidak ada yang terkecuali, seluruh rakyat Sabah mendesak dan menuntut Hak-Hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 termasuklah Hak 40 Peratus tersebut.

Penyelaras PGRS DUN Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut berkata pemahaman rakyat Sabah ketika ini ialah hak-hak tersebut merupakan hak milik mutlak negeri ini dan sepatutnya dikembalikan secara tuntas tanpa sebarang kompromi.

Beliau turut meminta agar para Ahli Parlimen Sabah, terus menerus mendesak agar isu ini sentiasa timbul apabila Mesyuarat Dewan Rakyat bersidang setiap kali.

“Rakyat Sabah hari ini mahukan pembangunan dan kemajuan yang setara dengan negeri-negeri lain.

Ramai pemimpin kita hari ini berpendapat yang sama dan persekutuan seharusnya segera bertindak, bukan sekadar janji dan tempelan gula-gula yang semata-mata bertujuan untuk melengah-lengahkan kelulusan.

Rakyat sudah semakin muak dengan alasan demi alasan,” jelas Victor dalam satu kenyataan disini hari ini.

Menurutnya, terdapat sebilangan pihak tertentu melabelkan Kerajaan Sabah yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai ‘di cucuk hidung’ tanpa memikirkan hal sedemikian secara lebih luas.

Katanya, Kerajaan Sabah tidak pernah sesekali pun tunduk di bawah telunjuk Persekutuan atau sebarang arahan yang wajib diikuti.

“Kerajaan Sabah mengamalkan toleransi dan terus menjaga hubungan baik antara kerajaan dengan Kerajaan (Sabah dan Persekutuan).

Amalan berunding secara baik tetapi tegas dengan pendirian harus terus berjalan sehingga ada keputusan tuntas dalam suasana harmoni.

Semua di kalangan kita anak Sabah sangat menginginkan Hak-hak Sabah itu dituruti dan isu 40 Peratus itu selesai secara baik.

Kita anak Sabah dahagakan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran setanding Tanah Semenanjung dan Sarawak,” ujarnya lagi.

Sebagai Penyelaras PGRS DUN Tambunan dan salah seorang teraju kepimpinan daerah pedalaman itu, beliau turut sama berada dalam kelompok yang menuntut Persekutuan menjelaskan dan menyelesaikan isu ini dengan tuntas tanpa sebarang kompromi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles