KOTA KINABALU: Bangunan Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) di Kampung Marasinsim, Kota Marudu dijangka dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 22 September ini.
Ketika mengumumkan perkara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah
(USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata penubuhan KKIS bertujuan membantu pelajar daripada sekolah tahfiz, pondok, dan Sekolah Agama Rakyat menyambung pengajian ke peringkat diploma.
“Kita mahu anak-anak Sabah, khususnya lepasan tahfiz, pondok dan institusi pendidikan Islam, mempunyai peluang memperoleh kemahiran yang boleh membina masa depan mereka,” katanya.
Sapawi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena majlis perasmian Program Pembangunan Insan (PPMI) Institut Pendidikan Islam di SICC dekat sini hari ini.
Perasmian itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Haji Aliasnih.
Menurur Sapawi KKIS bukan sahaja menyediakan pendidikan agama tetapi juga kemahiran vokasional.
Beliau berkata USIA akan terus memperkasakan kemahiran guru-guru Pendidikan Islam di negeri ini bagi memastikan mereka menguasai ilmu agama, mempunyai kemahiran pedagogi, teknologi digital dan AI dalam pendidika.
Sebab itu, beliau berkata pertubuhan tersebut telah menjadikan dakwah dan pendidikan sebagai teras perjuangan USIA.
Menurutnya antara perancangan yang telah dilaksanakan ialah mewujudkan Pelan Strategik Pembugaran USIA bagi mengembalikan kekuatan dan kecemerlangan terutama dalam berdepan cabaran semasa.
Sapawi berkata dakwah tidak boleh terpisah daripada pendidikan, namun pada masa yang sama pendidikan mesti melahirkan insan yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak.
“Dalam hal ini, diharapkan PPMI (Program Pembangunan Modal Insan) ini dapat membantu menjayakan misi murni USIA ini,” katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Sapawi berkata PPMI, antara lain, bertujuan meningkatkan kemahiran guru-guru dalam pengurusan pendidikan Islam dan AI.
“Kita mahu guru-guru yang menyertai PPMI menguasai ilmu ini,” katanya.
