Program Perantis Go Digital 2026 Perkasa Usahawan Wanita dan Belia Melalui Teknologi Digital

Oleh FBB

KOTA KINABALU: Program Perantis Go Digital 2026 anjuran IKSNita Sabah dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, baru-baru ini, dilihat mampu memperkasa teknologi digital dalam kalangan usahawan wanita dan belia.

Program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti, khususnya usahawan wanita dan golongan belia, menerusi pendedahan kepada teknologi digital serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan dan pembangunan perniagaan.

Pengerusi IKSNita Sabah, Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata, penganjuran program itu mencerminkan komitmen IKSNita Sabah dalam menyediakan platform pembangunan kemahiran digital kepada komuniti.

Katanya, ia selaras dengan keperluan semasa yang semakin bergantung kepada teknologi dalam sektor keusahawanan.

“Antara pengisian utama program ialah bengkel dan latihan praktikal berkaitan Google Business Profile, penggunaan ChatGPT untuk usahawan, Canva AI, Video AI serta penggunaan AI bagi membantu pengurusan rekod kewangan.

“Melalui Google Business Profile, peserta didedahkan kepada kaedah membina dan mengurus profil perniagaan secara dalam talian bagi meningkatkan keterlihatan perniagaan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Rosmawati Lasuki.

Sementara itu, Pengendali kursus, Ts Gs Mahadthir Asbollah berkata, penggunaan ChatGPT memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah menghasilkan dokumen rasmi, prosedur operasi standard (SOP) dan bahan penulisan pemasaran atau copywriting dengan lebih pantas dan sistematik.

Katanya, peserta turut diberi latihan menggunakan Canva AI bagi menghasilkan bahan promosi seperti poster, kandungan media sosial dan pembentangan profesional, selain mempelajari teknologi Video AI untuk menghasilkan video promosi bagi tujuan pemasaran produk dan perkhidmatan.

“Dalam bengkel tersebut, peserta dibimbing mengenai penggunaan aplikasi berasaskan AI seperti ChatGPT, Canva AI dan Video AI bagi meningkatkan produktiviti, memperkemas operasi serta memperkukuh daya saing perniagaan.

“Program selama lima hari itu melibatkan penyertaan pemimpin pelajar universiti dan kolej, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti, usahawan wanita daripada golongan B40 serta pemimpin belia wanita.

“Pendedahan yang diberikan diharap dapat meningkatkan kefahaman dan kemahiran peserta dalam memanfaatkan teknologi digital dan AI sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan perniagaan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, Program Perantis Go Digital 2026 juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan lebih ramai usahawan digital yang berdaya saing di Sabah, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti dan negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles