Peranan Media Semakin Penting Dalam Membina Komuniti Bermaklumat – Dr Haryati Karim

KOTA KINABALU:  Media memainkan peranan penting sebagai wadah untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan pantas, sekali gus membantu membina komuniti yang bermaklumat.

Sehubungan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Haryati Abdul Karim berkata para pengamal media perlu berhati-hati memilih isu yang hendak dilaporkan.

Katanya ini kerana setiap pilihan boleh memberi impak besar kepada masyarakat atau komuniti, undang-undang, dan reputasi media itu sendiri.

Haryati berkata selain mendidik masyarakat melalui pelaporan isu-isu semasa, media bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang disahkan benar, menjadi badan pengawas dan menyediakan forum perbincangan.

“Di samping itu, media sewajarnya memberi suara kepada golongan yang disisihkan, termasuk golongan OKU.

“Apabila melaporkan satu pengumuman dari kerajaan, akhbar (media) perlu mendapatkan reaksi orang awam…perlu ada keseimbangan yang mana orang awam boleh menyertai proses pembangunan negara,” katanya.

Haryati berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena kursus asas kewartawanan anjuran Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) di sini hari ini.

Program itu dihadiri Pengerusi KOPEKS Datuk Dr Saat Awang Damit dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO( Kopeks, Buvil Angkui.

Haryati turut berkongsi amalan terbaik dalam memantapkan peranan media dalam komuniti.

Katanya ini termasuk sikap terbuka dan bukan selektif dari segi pemilihan isu dan menyediakan satu kolumn khas suara rakyat.

“Ini membolehkan komuniti mempunyai tempat untuk mengadu atau kepentingan mereka disuarakan,” katanya.

Haryati turut menekankan pentingnya media bertindak adil dan  objektif di mana setiap berita perlu ada dua sisi – rakyat/komuniti dan juga pihak autoriti.

“Untuk menjadi akhbar yang diterima ramai, beri liputan yang saksama kepada semua kaum wajar diberi perhatian..elakkan membuat eksklusif yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya,” katanya.

Sementara itu, Haryati menyambut baik inisiatif KOPEKS menerbitkan akhbar ‘Kinabalu Media’, yang menurutnya akhbar pertama berkonsepkan Komuniti di Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles