KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan agar Jabatan Statistik Malaysia menerbitkan sebuah laporan tahunan komprehensif memfokuskan kepada pelbagai isu strategik negara.
Menurut beliau, laporan berkenaan perlu merangkumi data terperinci mengenai statistik pelarian Filipina di Sabah mengikut pemecahan daerah, status dokumentasi, pendidikan serta pekerjaan.
“Statistik keselamatan sempadan termasuk jumlah laluan haram, insiden pencerobohan dan tangkapan pendatang tanpa izin juga perlu dipaparkan secara jelas.
“Laporan itu juga perlu menyenaraikan statistik projek-projek sakit mengikut kementerian dan wilayah, di samping pemantauan khusus terhadap operasi Kompleks Pendaratan Ikan di seluruh negara,” katanya.
Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata demikian dalam ucapan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Menurut beliau, laporan itu juga adalah dibuat secara menyeluruh menyentuh soal realiti kos sara hidup termasuk data harga barangan keperluan asas seperti beras yang diterbitkan secara berasingan bagi profil Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Statistik seperti ini akan membantu kerajaan menggubal dasar yang lebih tepat serta membolehkan Parlimen menilai keberkesanan pelaksanaannya.
“Manakala bagi memastikan wujudnya elemen semak dan imbang yang berkesan, saya syorkan agar RUU ini mewajibkan Ketua Perangkawan membentangkan laporan strategik terbabit di Dewan Rakyat pada setiap tahun.
“Tuaran menyokong penuh pembentangan RUU Statistik 2026 ini namun menegaskan agar Malaysia mula berhijrah daripada kaedah pentadbiran berasaskan andaian kepada pentadbiran yang berlandaskan bukti,” ujarnya lagi.
