KUALA LUMPUR – Mempertahankan hak Sabah dan Sarawak adalah tindakan mutlak dalam mempertahankan kelangsungan asas sebenar penubuhan Persekutuan Malaysia.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sebahagian besar kekayaan dana amanah negara datang daripada hasil petroleum dan gas asli wilayah Borneo, justeru rakyat di kedua-dua negeri itu berhak mendapat jaminan bahawa hak perlembagaan mereka sentiasa dihormati.
“Hak-hak kewangan Sabah dan Sarawak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah ihsan mahupun hadiah daripada mana-mana pemimpin, tetapi ia lahir daripada undang-undang tertinggi negara.
“Apabila kita mempertahankan Perlembagaan, kita sebenarnya mempertahankan Malaysia. Apabila kita mempertahankan hak Sabah dan Sarawak, kita sebenarnya mempertahankan asas penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya.
Madius berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara 2026, di sini pada Khamis.
Katanya, sokongan beliau terhadap penggubalan RUU tersebut diberikan secara bersyarat bagi memastikan pelaksanaannya kelak tidak akan mengikis walau seinci pun hak-hak Sabah dan Sarawak.
“Bagi menterjemahkan pengiktirafan hakiki terhadap keluhuran perlembagaan, saya mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan penyertaan sekurang-kurangnya seorang wakil dari Sabah dan seorang dari Sarawak ke dalam anggota Lembaga dana kekayaan negara ini.
“Syor ini bukanlah mengenai politik kepartian, sebaliknya ini adalah soal federalisme yang adil serta penghormatan terhadap sumbangan besar negeri-negeri pengeluar sumber asli kepada pembentukan kewangan negara.
“Pemeliharaan hak negeri dalam akta tersebut mestilah dipandu oleh mekanisme semak dan imbang yang utuh, dan bukan sekadar meletakkan kuasa atau harapan kepada budi bicara mutlak seorang menteri,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu lagi.
Ujarnya, iltizam kerajaan dalam memelihara hak Sabah dan Sarawak melalui akta ini bakal menentukan sama ada kekayaan persekutuan diwariskan dengan penuh integriti, keadilan, dan selari dengan roh asal pembentukan Malaysia bagi tatapan generasi akan datang.
