SANDAKAN – ADUN Elopura Calvin Chong, telah menerima satu aduan daripada orang awam berhubung kegiatan pembuangan sampah secara haram di kawasan lapang berhampiran Jambatan Merah yang semakin membimbangkan.
Berdasarkan maklumat yang diterima, seorang saksi yang sering bersenam dengan berbasikal telah melihat sebuah lori dipercayai membuang sisa buangan di lokasi tersebut. Pada mulanya, kawasan itu hanya dipenuhi dengan sisa pokok dan dahan, namun kini pelbagai jenis sampah sarap turut dibuang sehingga mencemarkan persekitaran dan menjejaskan imej kawasan berkenaan.
Calvin ingin menegaskan bahawa kawasan tersebut bukan merupakan tapak pelupusan sampah yang dibenarkan. Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan kawasan lapang sebagai tempat pembuangan sampah haram adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dipandang ringan.
Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah boleh mengundang bau busuk, pembiakan lalat, nyamuk dan haiwan perosak, di samping menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan penduduk sekitar.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bersama jabatan berkaitan agar menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab. Tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melakukan pembuangan sampah secara haram agar menjadi pengajaran dan tidak berulang pada masa hadapan.
Pada masa yang sama, beliau turut memohon agar kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut dilaksanakan dengan segera sebelum longgokan sampah menjadi semakin serius. Pemantauan secara berkala juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan lokasi ini terus dijadikan tempat pembuangan sampah haram.
Calvin juga ingin menyeru seluruh masyarakat agar bersama-sama menjaga kebersihan kawasan sekitar dan tidak mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
“Sebagai wakil rakyat Elopura, saya akan terus membawa isu-isu yang memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan memastikan setiap aduan yang diterima mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkuasa. Kebersihan dan kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, dan saya berharap semua pihak dapat berganding bahu memastikan Sandakan kekal bersih, selamat dan kondusif untuk didiami,” katanya.
