KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, mengingatkan kerajaan bahawa usaha memperketatkan penguatkuasaan jalan raya mestilah disertai dengan mempercepatkan pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, di Sabah masih terdapat jalan raya yang sempit, rosak, berlubang, tidak mempunyai lampu jalan yang mencukupi serta tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang sewajarnya.
“Apalah gunanya menaikkan denda daripada RM300 kepada RM500 jika rakyat masih terpaksa menggunakan jalan raya yang tidak selamat?
“Apakah gunanya memperluaskan kuasa penguatkuasaan jika keadaan jalan raya sendiri menyumbang kepada risiko kemalangan,” katanya.
Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
Beliau turut membangkitkan isu kesesakan lalu lintas yang melampau akibat projek pembinaan dan naik taraf jalan yang berlarutan terlalu lama tanpa penyelesaian, khususnya di laluan Kota Kinabalu-Tuaran, Tuaran-Tamparuli, Tamparuli-Ranau dan beberapa jajaran Pan Borneo.
“Rakyat Sabah telah bertahun-tahun berhadapan dengan kesesakan luar biasa akibat projek yang tertangguh atau tidak siap mengikut jadual, dengan lorong yang disempitkan, lencongan sementara yang tidak selamat, permukaan jalan yang tidak rata serta kesesakan berjam-jam menyebabkan tekanan, keletihan dan hilang tumpuan kepada pemandu.
“Jika rakyat boleh didenda kerana melanggar peraturan jalan raya, maka kontraktor dan pihak yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual sehingga menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya juga perlu dipertanggungjawabkan,” tegasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Tamparuli itu turut mempersoalkan sama ada kerajaan pernah mengkaji hubungan antara kelewatan projek infrastruktur dengan peningkatan kadar kemalangan jalan raya.
“Secara prinsipnya saya menyokong RUU ini sebagai usaha kerajaan memperkukuhkan keselamatan jalan raya dan memperkemas penguatkuasaan, namun harus diingatkan bahawa tujuan utama undang-undang jalan raya bukanlah semata-mata untuk meningkatkan denda atau memperluaskan kuasa penguatkuasaan tetapi untuk menyelamatkan nyawa rakyat.
“Terkait dengan ini, Tuaran ingin bertanya berapakah jumlah kemalangan yang terlibat di sekitar jalan Bulatan Berungis – Telipok – Jalan Bandar Sierra Manggatal yang menyebabkan kematian, cedera parah atau kerosakan kereta akibat pelanggaran terhadap pembahagi jalan konkrit yang dipasang pihak kontraktor jalan raya?
“Tuaran juga ingin bertanya kepada Kerajaan, apakah tindakan yang diambil bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Tamparuli – Ranau dan Jalan Telibong – Pekan Tamparuli yang kini teramat sesak akibat penutupan Jambatan Low Level Crossing Tamparuli,” ujar Madius lagi.
