TUARAN: Isu pencemaran sungai di Sabah kini dilihat bukan sahaja menjejaskan petani komersial dan penternak, malah boleh menggugat kejayaan kempen kerajaan seperti Program Kebun Dapur yang digalakkan untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan keselamatan makanan isi rumah.
Program Kebun Dapur yang menggalakkan rakyat menanam sayur, herba dan tanaman makanan di halaman rumah memerlukan sumber air yang bersih dan selamat untuk penyiraman harian.
Sekiranya air sungai atau sumber air berhampiran tercemar dengan sisa kumbahan, bahan kimia atau pelepasan tidak terkawal, ia berisiko menjejaskan kesihatan tanaman dan boleh memberi kesan kepada pengguna yang memakan hasil tanaman tersebut.
Pengerusi kempen kesedaran awam Anti Pencemaran Sungai Sabah Gundohing Simon Molubi berkata, usaha kerajaan menggalakkan rakyat bercucuk tanam sendiri akan terjejas sekiranya isu pencemaran sumber air tidak ditangani secara serius.
“Kerajaan galakkan rakyat tanam sendiri untuk jimat belanja dan tambah bekalan makanan keluarga. Tetapi persoalannya, adakah sumber air untuk Kebun Dapur ini benar-benar selamat?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, air bersih adalah elemen utama dalam menjayakan agenda keselamatan makanan negeri dan negara.
Selain itu, pencemaran air turut menjejaskan
hasil pertanian komersial, pensijilan seperti MyGAP dan MyOrganic, keyakinan pengguna terhadap makanan tempatan,
usaha usahawan tani menembusi pasaran premium.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan dan agensi berkaitan mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk memantau dan menguatkuasakan perlindungan sumber air.
Antara undang-undang berkaitan ialah
Public Health Ordinance 1960 Sabah
Local Government Ordinance 1961 Sabah
Sabah Water Resources Enactment 1998
Environmental Quality Act 1974.
Katanya, tindakan segera seperti ujian makmal air, pemantauan berkala, siasatan punca pencemaran dan pendakwaan terhadap pelaku perlu dilakukan bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa.
“Jika air untuk pertanian dan Kebun Dapur tercemar, ia bukan sekadar isu alam sekitar. Ia isu kesihatan, ekonomi dan keselamatan makanan rakyat Sabah,” katanya.
Kempen Anti Pencemaran Sungai Sabah menyeru semua pihak supaya bersama mempertahankan sungai sebagai sumber kehidupan.
Sebelum ini, media Sabah pernah melaporkan bahawa banyak sungai di negeri ini, termasuk di daerah Tuaran, sudah dicemari dengan pelbagai aktiviti pencemaran namun tiada undang-undang yang dapat mengheret penceroboh sungai berkenaan.
