KOTA KINABALU: Selepas ‘polemik politik’ kehadiran bersama presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan pada majlis Kaamatan di Keningau baru-baru ini, pemangku presiden KDM, Priscella Peter dan Shafie pula hadir sama meraikan Pesta Kaamatan di Bukit Kokol, Menggatal hari ini.
Walaupun kehadiran bersama itu dilihat perkara biasa dalam konteks pemantapan budaya dan perpaduan, namun ‘keakrafan’ pemimpin-pemimpin utana parti Warisan, STAR dan KDM yang semakin ketara kebelakangan ini pasti mengundang pelbagai persepsi.
Persepsi seumpama itu lumrah terserlah terutama apabila dikaitkan isu kemungkinan akan terbentuk penjajaran politik untuk parti tempatan menjelang pilihan raya umum (PRU) yang datang.
Sesungguhnya Kaamatan adalah Pesta untuk meraikan perpaduan di kalangan orang Sabah.
Kaamatan juga boleh mengeratkan kerjasama antara kita semua.
Dalam catatan terbaharu Facebook, Priscella menzahirlan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dan Edna Majimbun, ADUN Inanam yang juga tuan rumah atas jemputan ke sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan di Kokol Paradise Cafe & Restaurant, Manggatal itu.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah atas penganjuran Pesta Kaamatan ini, yang berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam majlis yang amat bermakna ini.
“Kaamatan semestinya menjadi wadah yang terbaik untuk kita berkumpul, bertemu sahabat lama dan baru bagi meraikan budaya serta tradisi yang menjadi lambang perpaduan kepada kita semua tanpa mengira fahaman politik, agama dan budaya,” katanya.
