BEAUFORT: Kontinjen Ibu Pejabat mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara Liga Lelaki Berpasukan selepas menewaskan pasukan Kota Belud dengan keputusan 3–2 dalam perlawanan akhir Kejohanan badminton Persatuan Sukan Kakitangan Perkhidmatan Pendidikan Sabah (PSKPP) peringkat Negeri Sabah 2025.
Pasukan Telupid–Tongod dan Lahad Datu pula berkongsi tempat ketiga kejohanan.
Kejohanan yang berlangsung dengan penuh semangat kesukanan itu mempertandingkan tiga kategori utama, iaitu Liga Lelaki Berpasukan, Bergu Wanita Terbuka dan Bergu Lelaki Individu VIP.
Dalam kategori Bergu Wanita Terbuka, pasangan dari Ibu Pejabat muncul juara, manakala gandingan adik-beradik dari Kota Belud meraih tempat kedua.
Bagi kategori Bergu Lelaki Individu VIP, regu Beaufort selaku tuan rumah kejohanan berjaya merangkul kejuaraan.
Kejayaan penganjuran dan pencapaian kontinjen adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan, jurulatih dan atlet, selain sokongan padu daripada pelbagai pihak.
Komitmen dan semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan menjadi faktor utama kejayaan ini.
Kejohanan PSKPPS Negeri 2025 terus berfungsi sebagai platform penting dalam memperkukuh semangat kesukanan, memupuk kerjasama dan setiakawan serta melahirkan atlet berpotensi dalam kalangan guru sekolah-sekolah di bawah persekutuan, selaras dengan usaha berterusan membangunkan bakat sukan ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan PSKPPS Negeri 2025
Md Rosli Suhailin yang juga Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan, kejayaan penganjuran serta pencapaian kontinjen adalah hasil komitmen dan kerjasama semua pihak yang terlibat.
“Kami amat berpuas hati dengan tahap penganjuran dan semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan ini.
“Kerjasama erat antara pihak pengurusan, jurulatih, atlet serta sokongan pelbagai pihak menjadi faktor utama kelancaran kejohanan dan kejayaan yang dicapai.
“Diharapkan kejohanan ini terus menjadi platform melahirkan atlet berkaliber serta mengukuhkan silaturahim dalam kalangan warga pendidik,” katanya.
Penyampaian hadiah kejohanan itu disempurnakan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin bin Saidin.