KOTA KINABALU: Kempen Sabah Bebas Sampah (SBS) yang dimulakan di Semporna di bawah kerajaan Warisan telah menunjukkan hasil sebenar kerana wujudnya kepimpinan, kerjasama dan penguatkuasaan yang berkesan.
Bekas Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, matlamat kempen ini bukan sekadar untuk membersihkan Semporna tetapi untuk mengubah tabiat masyarakat secara kekal.
Di bawah pimpinan Pegawai Daerah Semporna ketika itu, Bianus Kontong, kempen ini berjaya menyatukan pihak majlis daerah, pegawai penguat kuasa dan komuniti setempat dalam satu gerakan besar pembersihan bandar.
“Kami berjaya membersihkan Semporna dalam tempoh hanya dua bulan. Selepas itu, kami kuatkuasakan undang-undang kecil di mana sesiapa yang membuang sampah dikenakan denda RM50 di tempat kejadian,” kata Bianus dalam satu sidang media baru-baru ini.
“Kami menggunakan bot skimmer untuk mengutip sampah terapung, membina dua insinerator yang mampu membakar sehingga dua tan sisa sehari dan hanya meninggalkan dua kilogram abu. Itulah hasilnya,” katanya.
Kempen SBS turut memperkenalkan program kesedaran kreatif. Mereka yang ditangkap membuang sampah diwajibkan memakai vest bertulis “Saya monyet” sebagai peringatan kepada orang ramai bahawa membuang sampah sesuka hati adalah perbuatan tidak bermoral.Kempen ini berjaya dan Semporna menjadi lebih bersih dan perairannya lebih jernih berbanding sebelumnya.
Namun apabila kerajaan GRS mengambil alih, program ini dihentikan sepenuhnya.
Tiada lagi penguatkuasaan, tiada lagi gotong-royong komuniti dan tiada susulan dilaksanakan.
Akibatnya, Semporna kembali kotor.Golongan yang menamatkan program inilah kini cuba menyalahkan Datuk Seri Shafie Apdal, sedangkan hakikatnya di bawah Warisan, Semporna telah dibersihkan dan di bawah GRS, keadaan kembali mundur.“Warisan pernah membersihkan Semporna dan kami akan lakukannya sekali lagi kerana ketika orang lain memberi alasan, kami membawa hasil,” kata Jaujan.
