Konsert Seni Budaya Bahasa Kadazandusun IPG Kent pukau warga pendidik

TUARAN: Mini Konsert Seni Budaya Bahasa Kadazandusun 2025 anjuran Jabatan Bahasa Kadazandusun menceriakan suasana di Institut Pendidikan Guru Kampus Kent baru-baru ini.

Program itu menjadi pentas buat siswa dan siswi guru untuk menyelami, menghargai, dan menonjolkan kekayaan seni serta budaya etnik Kadazan Dusun yang begitu unik dan penuh makna.

Ia bukan sekadar acara seni biasa, malah menjadi ruang pembelajaran bermakna yang menghubungkan nilai budaya tempatan dengan dunia pendidikan.

Program itu turut berperanan memperkukuh semangat kebangsaan dan memperkenalkan keindahan budaya Kadazan Dusun kepada warga IPG secara lebih dekat.

Sepanjang program, para siswa dan siswi guru berpeluang mempersembahkan hasil kreativiti masing-masing menerusi pameran lagu ciptaan dan poster lagu yang diadili oleh Puan Diane Chrisie Beth-Lai, serta pameran buku e-skrap yang dinilai oleh Encik James Geoffrey W. Molijoh.

Tidak kurang menariknya, pertandingan nyanyian turut mencuri perhatian dengan persembahan penuh semangat yang memperlihatkan kebolehan luar biasa siswa guru dalam menyampaikan lagu-lagu Kadazandusun.

Program itu turut menampilkan tayangan persembahan Hiis, yang dipersembahkan oleh siswa dan siswi guru PPISMP BKD ambilan Ogos 2024.

Persembahan puisi tradisional tersebut memberikan peluang kepada peserta untuk menunjukkan kemahiran mereka dalam seni lisan, sekaligus mengangkat seni warisan yang telah lama wujud dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun.

Sebagai nilai tambah, program ini turut menampilkan tayangan video dokumentasi tiga program luar kampus yang telah dijalankan lebih awal.

Antaranya ialah Program Seri Tamparuli: Menyuluh Tradisi, Menerangi Warisan yang berlangsung pada 12 Mac 2025 di Tamu Pekan Tamparuli, Program Kembara Budaya dan Kearifan Lokal Masyarakat Kadazandusun pada 27 hingga 28 Mac 2025 di Dewan Damit Tenghilan, serta Bengkel Kesenian Tradisi Masyarakat Kadazan dan Dusun pada 14 dan 15 April 2025 di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA).

Penglibatan seramai 26 siswa dan siswi guru daripada PPISMP BKD Ambilan Ogos 2024/2029 serta siswa guru PISMP BKD Ambilan Jun 2021 telah membuktikan komitmen dan semangat mereka dalam menjayakan keseluruhan program.

Mereka bukan sahaja tampil sebagai peserta, tetapi juga memainkan peranan penting dalam merancang dan mengendalikan program, sekali gus memenuhi keperluan pentaksiran berterusan mereka melalui pengalaman yang bersifat praktikal.

Encik John Gitom, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun mengharapkan agar program ini akan meningkatkan jati diri sisw guru untuk terus berusaha melestarikan bahasa, budaya dan sastera Kadazandusun agar tidak tenggelam oleh arus perubahan persekitaran generasi Z.

Program yang diselaraskan oleh Dr Rosie Johnny sebagai penyelaras utama bersama-sama dengan Puan Rosmahwati Binti Ebbie boleh dijadikan sebagai satu medium pemartabatan bahasa Kadazandusun dengan kepelbagaian ilmu yang membantu dalam membina nyalarasa siswa guru bahasa Kadazandusun untuk menangani setiap permasalahan yang timbul terutama dalam meningkatkan minat para pelajar sekolah terhadap mata pelajaran bahasa Kadazandusun.  

Pengerusi program, Encik Melvin Everlee Kassim, juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran acara yang berlangsung.

Melalui program itu, Jabatan Bahasa Kadazandusun terus mengangkat martabat budaya tempatan dan membuka ruang untuk siswa guru mendalami warisan bangsa dalam suasana yang kreatif dan menyeronokkan.

Mini Konsert Seni Budaya Bahasa Kadazandusun 2025 bukan sahaja mencungkil bakat, malah membentuk jiwa pendidik yang berbudaya dan berintegrasi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles