Berhati-hati tawaran kerja luar negara, pesanan Zaki kepada belia Sabah

TAWAU: Insiden membabitkan seorang pemuda dari Keningau menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang berjaya diselamatkan di Kemboja baru-baru ini wajar menjadi pengajaran untuk semua pihak.

Menurut Mohd. Zaki Harry Susanto, Penasihat Pertubuhan Pecegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS, tawaran kerja bergaji tinggi di luar negara yang tular di media sosial kini menjerat ramai belia Sabah kerana bukan sahaja ditipu malah dipaksa menjadi ‘scammer’.

Sambil menasihatkan orang ramai berhati-hati, beliau berkata sindiket licik tersebut bukan hanya menyasarkan golongan muda dari kawasan pedalaman malah beberapa bandar utama seperti Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan.

“Sindiket tersebut menawarkan iklan kerja palsu dengan gaji lumayan di negara seperti Thailand, Laos, Kemboja dan Myanmar. Ramai mangsa yang terpedaya berakhir sebagai buruh paksa dalam ‘scam centre’ atau pusat penipuan dalam talian yang dikawal ketat.

“Pada peringkat awal, mangsa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’. Namun selepas melihat pulangan wang yang lumayan, sebahagian daripada mereka rela meneruskan kerja itu sebagai kerjaya tetap. Malah, menurut sumber yang boleh dipercayai, hampir 90 peratus mangsa yang diselamatkan akhirnya enggan pulang ke Malaysia kerana telah menikmati gaya hidup mewah hasil penipuan,” katanya.

Zaki turut menambah, ramai belia sanggup menggadai maruah diri semata-mata kerana wang.

Katanya mereka mungkin bermula sebagai mangsa, tapi berakhir sebagai ejen sindiket.

“Sehingga kini, 73% daripada mereka yang terjerat dengan ‘modus operandi’ tersebut dipaksa menjadi ‘scammer’ manakala selebihnya dijadikan buruh paksa di kasino, pusat khidmat pelanggan dan restoran.

“Jumlah kerugian mangsa yang terpedaya dianggarkan melebihi RM25 juta, manakala sindiket menjana ratusan juta ringgit hasil kegiatan haram itu,” tambah Zaki lagi.

Setakat ini, sekurang-kurangnya empat tangkapan utama telah dibuat di Sabah melibatkan ejen tempatan yang menjadi dalang membawa keluar remaja untuk “kerja mudah tapi lumayan”. Mereka disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan berdepan hukuman penjara serta denda.

“Kita menasihatkan orang ramai, terutama belia Sabah, agar menyemak latar belakang syarikat dan tawaran kerja melalui saluran rasmi seperti Kementerian Sumber Manusia serta jangan mudah percaya dengan tawaran kerja luar negara yang terlalu mudah dan menjanjikan gaji tinggi tanpa temuduga.

“Elakkan berurusan melalui media sosial atau orang tengah tidak dikenali dan segera melapor kepada pihak polis jika ditawarkan kerja luar negara yang mencurigakan.

“Paling penting, jangan gadai masa depan demi gaji besar yang belum pasti. Ramai yang pergi tak pernah kembali,” katanya.

Sehingga kini, Zaki berkata pihak berkuasa telah memberi amaran bahawa sindiket ini tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti, malah terus aktif menyasarkan golongan muda terutama mereka yang terdesak mencari pekerjaan.

“Jika anda atau kenalan ditawarkan kerja luar negara yang mencurigakan, hubungi talian hotline ATIPSOM: 03-8000 8000 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles