TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli terus mendapat sokongan memberangsangkan apabila seramai 18 ahli baru dari Tenghilan menyertai parti tersebut pada Ahad.
Kumpulan ahli baharu itu diketuai seorang pesara kerajaan yang bersemangat tinggi dalam memperjuangkan masa depan politik Sabah, Liew Kui Choi.
Menurut Liew, penyertaan mereka dalam PBS adalah satu langkah penting ke arah memastikan hak dan kepentingan rakyat terus dibela.
Beliau menyatakan keyakinannya bahawa lebih ramai lagi akan menyertai perjuangan ini dalam masa terdekat.
“PBS adalah wadah terbaik untuk membela hak rakyat Sabah, khususnya generasi muda yang ingin melihat perubahan positif.
“Kami percaya bahawa kepimpinan yang ada dalam PBS mampu membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya.
Borang keahlian mereka diterima oleh Ketua Bahagian PBS Tamparuli, yang juga Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim.
Lebih bermakna, majoriti ahli baharu tersebut terdiri daripada golongan muda yang bersemangat untuk menyumbang kepada perjuangan PBS, dan menjadi sebagai sebahagian catatan sejarah kelak.
Sementara itu, Jahid turut mengalu-alukan kehadiran mereka dan menyatakan bahawa sokongan yang semakin meningkat ini merupakan bukti kepercayaan rakyat terhadap PBS sebagai sebuah parti yang konsisten memperjuangkan hak rakyat Sabah.
“Kemasukan ahli-ahli baharu ini menunjukkan bahawa PBS terus relevan dan terus mendapat tempat di hati rakyat.
“Kita amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan bertekad untuk terus berjuang demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.
Tambah Jahid, PBS Bahagian Tamparuli akan terus bekerja keras dalam memperkukuhkan sokongan akar umbi serta memperjuangkan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah.