KOTA KINABALU: Dengan hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah diadakan, kerjasama Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH)sedia ada wajar menekankan naratif ‘Suka Sama Rakyat’ dan
bukannya sekadar ‘Suka Sama Suka’.
,Bendahari BN Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata misi pakatan BN-PH itu seharusnya mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat Sabah, dan bukan sekadar kesenangan politik semata-mata.
“Sebarang pakatan politik perlu mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi atau politik,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan sedang diadakan bagi memastikan BN-PH dan rakan tempatan bekerjasama untuk pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan peluang lebih baik di Sabah.
Bekas Ketua Menteri itu berkata BN Sabah juga akan mengekalkan kerjasama dengan rakan PH pada PRN akan datang, sejajar kerjasama mereka di peringkat persekutuan.
Beliau menegaskan komitmen BN Sabah terhadap kestabilan politik dan tadbir urus demi manfaat rakyat Sabah.
Menurutnya pendidiran itu telah dinyatakan secara terbuka oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin
“Pada masa sama, kami mengakui kepentingan mengadakan libat urus dengan parti tempatan untuk memastikan gabungan kuat dan padu di negeri ini,” katanya.
November lalu, Zahid yang juga pengerusi BN berkata, gabungannya akan membentuk pakatan teras dengan PH untuk PRN Sabah.
Kerjasama itu turut terbuka kepada gabungan dan parti lain.
Ia disusuli pertemuan tidak rasmi pemimpin BN dan PH Sabah di Kota Kinabalu, di mana mereka mengeluarkan kenyataan bersama bersetuju memupuk semangat perpaduan sejajar persefahaman sedia ada antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Zahid.
Sumber – FMT