KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membawa kemajuan kepada negeri Sabah menerusi Belanjawan 2025.
Beliau berkata penambahan peruntukan pembangunan Sabah kepada RM6.7 bilion tahun hadapan dan kenaikan bayaran interim kepada RM600 juta, antara usaha Putrajaya merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Katanya, walaupun secara makro peruntukan Sabah itu masih belum mencukupi, namun ia memadai untuk mengimbangi ketidakseimbangan yang berlaku sejak sekian lama.
Yang nyata, kata beliau, Kerajaan Pusat menjiwai denyut nadi rakyat, berusaha memenuhi hak-hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disepakati bersama dahulu.
“Peruntukan yang disediakan ini membolehkan Sabah meneruskan projek pembangunan pada tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 pada tahun depan.
“Belanjawan 2025 bukti kesungguhan Putrajaya untuk terus berusaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, melalui penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik,” katanya.
Berucap membahas Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Matbali juga membangkitkan enam isu rakyat di kawasan Sipitang dan berharap kementerian serta agensi berkaitan segera menanganinya.
Pertama, projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di Stesen Kampung Long Pasia dan Kampung Meligan yang terbangkalai sekian lama.
Projek itu melibatkan Kampung Meligan, Ulu Bole, Mangayam, Rundulang dan Iburu, manakala Stesen Long Pasia untuk memenuhi keperluan Kampung Long Pasia dan Long Mio.
“Sehingga kini, status pelaksanaan projek cuma antara 60 hingga 70 peratus siap, sedangkan ia sudah lama dimulakan,” katanya.
Beliau berkata isu kedua melibatkan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Usuk Sungai Lakutan dan Kampung Pepolor, Sipitang.
Projek itu di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKLW) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Mengikut perancangan, ia akan memberi manfaat kepada 27 kampung di Sipitang membabitkan sebanyak 942 rumah keseluruhannya.
Beliau berkata pada 10 Januari lepas, KKDW dan JANS telah meninjau kawasan projek berkenaan, namun sehingga kini belum ada khabar mengenainya.
“Isu ketiga berkenaan Jeti Bot Penambang Sipitang-Menumbok di mana jeti bot penambang di Kampung Tanjung Pagar perlu dinaik taraf, terutama daripada aspek keselamatan (sistem pemeriksaan imigresen) dan pembinaan jeti yang lebih besar dan sistematik.
“Ini penting diberi keutamaan segera kerana jeti berkenaan dikatakan menjadi kawasan laluan aktiviti penyeludupan dan kemasukan warga asing (PTI),” katanya.
Manakala isu keempat berkaitan perkembangan Projek Naik Taraf Jalan Raya Kampung Mendulong ke Kampung Meligan, yang mana perkara itu sudah beberapa kali dibangkitkannya sebelum ini.
“Projek ini masih belum dilaksanakan dan tiada perkembangan daripada pihak kontraktor mahupun kementerian terlibat
“Projek naik taraf jalan ini perlu disegerakan dan kita mencadangkan supaya ia tidak dibenar dijadikan laluan oleh lori bermuatan besar, bagi mengelak kerosakan,” katanya.
Matbali juga bertanya bila Projek Menaik Taraf Jalan Kampung Bangkalalak ke Kampung Mentulud sepanjang 2.9 kilometer akan dimulakan, sedangkan ia telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi di bawah Belanjawan 2024 dengan kos sebanyak RM23.5 juta.
Selain itu, beliau mengetengahkan isu kemudahan berek dan kuarters polis di IPD Sipitang dan Balai Polis Sindumin.
“Kemudahan berek ini perlu diberi perhatian segera oleh Kementerian Dalam Negeri, kerana keadaannya sudah terlalu uzur dengan banyak kerosakan di sana-sini.
“Mengikut laporan awal yang saya terima, terdapat kira-kira 20 berek yang perlu diganti atau dibaik pulih.
“Kedua-dua IPD Sipitang dan Balai Polis Sindumin menggalas tanggungjawab amat penting berikutan kedudukannya betul-betul di barisan hadapan sempadan negara kita,” katanya.
Justeru, katanya, kemudahan berek kediaman untuk pegawai dan anggota polis bertugas perlu dipastikan dalam keadaan selesa supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan penuh bersemangat.