PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM100 juta melalui penyertaan Malaysia dalam Misi Perdagangan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Francais di Riyadh Arab Saudi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang mengetuai delegasi itu berkata, seramai 30 usahawan agensi-agensi KUSKOP menyertai Pameran Antarabangsa BIBAN24 yang diadakan pada 5 hingga 9 November 2024.
Katanya, penyertaan usahawan francais dan PKS dalam pameran itu adalah cerminan komitmen KUSKOP untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam sektor francais dan PKS.
Ewon telah mengadakan siri perbincangan berprofil tinggi, termasuk mesyuarat dengan Kudu Company for Food & Catering, salah satu jenama francais makanan terbesar di Arab Saudi.
“Perbincangan ini telah membuka peluang kerjasama perniagaan yang lebih luas dalam sektor makanan dan perkhidmatan, sekaligus membantu jenama-jenama Malaysia menembusi pasaran Arab Saudi.
“KUDU merupakan jenama restoran makanan segera yang memiliki 330 outlet di 45 bandar di Arab Saudi dan mempunyai wawasan untuk menembusi pasaran Asia bermula di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Pada 5 November, Ewon merasmikan Pavilion Usahawan Malaysia yang merupakan platform penting mempamerkan keupayaan dan inovasi usahawan Malaysia kepada pasaran global.
Dalam majlis yang sama, kedua-dua pihak menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dengan Monsha’at dan PERNAS dengan Monsha’at.
MoU ini merupakan langkah penting untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pembangunan PKS dan francais kedua-dua negara.
Ewon berkata, Pameran BIBAN24 di Riyadh Front Exhibition and Conference Center (RFECC) menjadi tumpuan global dalam bidang keusahawanan dan Pavilion Malaysia menjadi antara perhatian pemain industri dari seluruh dunia.
Program padanan perniagaan dan sesi rundingan membuka ruang baharu bagi syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan pasaran di Timur Tengah.
“Pada 6 November saya mengadakan pertemuan dengan semua usahawan SME, francais dan koperasi yang mengambil bahagian dalam Pameran BIBAN24 dan mempamer produk mereka di Pavilion Malaysia.
“Saya menerima maklum balas positif, sambutan yang sangat memberangsangkan daripada para pengunjung, bakal rakan niaga, pembeli dan pelabur yang berkunjung ke Pavilion Malaysia untuk berurusan terus dengan usahawan-usahawan negara ini.
“Saya juga bercamba minda dengan menjemput mereka menyampaikan pengalaman setakat dua hari pertama dalam Pameran BIBAN24 serta pandangan dan cadangan terkait pembangunan pengantarabangsaan usahawan-usahawan SME, francais dan koperasi Malaysia. Saya hargai cadangan-cadangan yang telah dikemukakan kepada saya,” katanya.
Ewon berharap, penyertaan usahawan-usahawan Malaysia dalam BIBAN24 membuka ruang menembusi pasaran antarabangsa seterusnya menjadi contoh, inspirasi dan motivasi kepada usahawan-usahawan lain untuk mencipta kejayaan yang sama.
Pada hari yang sama Ewon turut mengadakan pertemuan dengan Vice President Riyadh Chamber of Commerce Ajlan Saad Alaijan.
“Dewan perniagaan ini mempunyai sekitar 400,000 usahawan dan pemilik perniagaan di Riyadh serta mempunyai pusat ekspo mereka sendiri.
“Seterusnya meninjau sesi Business Matching di antara syarikat-syarikat Malaysia dengan ahli-ahli Riyadh Chamber of Commerce. Syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil bahagian mempunyai potensi besar menembusi pasaran Arab Saudi,” katanya.
Ewon juga mengadakan perbincangan strategik bersama pihak Tamimi Market, salah satu rangkaian peruncitan terbesar di Arab Saudi.
“Tamimi Market yang dimiliki oleh Tamimi Group merupakan antara jenama pasaraya yang besar dan mempunyai 164 rangkaian di seluruh Arab Saudi. Terdapat produk daripada Malaysia yang dipamer dan dijual di pasaraya ini.
“Saya telah menjemput Tamimi Market untuk menyertai SME Bank Xcess Program pada tahun 2025 untuk meninjau produk lain Malaysia yang boleh dijual di rangkaian pasarayanya,” kata Ewon.
Ewon berkata, perbincangan-perbicangan semasa misi perdagangan ini akan merintis laluan bagi syarikat Malaysia memperluaskan rangkaian produk dan perkhidmatan mereka di pasaran Arab Saudi.
“Penyertaan Malaysia dalam BIBAN24 adalah sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, pembangunan inklusif dan kesejahteraan melalui pengukuhan hubungan ekonomi antarabangsa,” katanya.