LAHAD DATU: Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah ( USIA) Datuk Hajah Siti Aminah Aching mengingatkan umat Islam perlu mempunyai keinginan untuk bersatu walaupun berbeza pandangan kerana inilah sifat yang boleh memajukan diri, negeri dan negara.
Beliau berkata, umat Islam tidak boleh terlalu taasub dengan pandangan masing-masing dan mengamalkan sikap berpuak-puak dalam sebuah organisasi apa lagi organisasi yang berteraskan Islam sebagai teras perjuangan.
“Jika perkara ini menjadi amalan ianya adalah satu fenomena yang kurang sihat yang boleh membawa perpecahan bukan sahaja dikalangan ahli malah umat Islam secara keseluruhanya “ katanya ketika berucap di Majlis Jelajah Ramah Mesra Wanita USIA bersama Wanita Usia Lahad Datu malam kemarin.
Siti Aminah yang kini dalam sirih jelajah Ramah Mesra Wanita USIA pusat juga meneruskan siri jelajah tersebut ke daerah Kunak, Tungku Semporna dan Tawau.
Menurut Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort institusi USIA yang memperjuangkan dakwah perlu dipertahankan daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak.
“ Kita mempunyai pandangan dan idelogi politik masing-masing namun dalam (USIA) yang memperjuangkan dakwah sebagai keutamaan perlu dipertahankan sebagai badan agama tanpa mencampur aduk dengan kepentingan lain demi menegakkan syiar islam “ katanya
Dalam pada itu Siti Aminah berkata dijankakan pada awal bulan Disember tahun ini, USIA akan mengadakan mesyuarat agung Tahunan Perwakilan kali ke 39 yang akan memilih barisan ahli jawatankuasa baharu bagi sesi 2024-2027 .
Katanya walaupun USIA merupakan badan agama namun amalan demokrasi bagi memilih barisan kepimpinan tertinggi terus diamalkan, bagaimana pun beliau berharap sekiranya berlaku pertandingan perpaduan perlu menjadi keutamaan ahli-ahli USIA.
Menurut Beliau, [erpaduan merupakan satu sumber kekuatan dalam masyarakat. Umat Islam khususnya harus melihat isu perpaduan ini sebagai satu perkara yang perlu diutamakan kerana Islam itu sendiri merupakan agama yang menekankan kepada aspek keamanan, persefahaman serta rasa cinta dalam kalangan umatnya dan manusia sejagat amnya.
“Sebagai ahli marilah kita sama mengelakkan perbalahan dan persengketaan yang akan merugikan umat Islam itu sendiri. Seharusnya perpaduan ummah tidak berdepan dengan halangan kerana umat Islam mempunyai asas yang paling kuat dalam mengekalkan kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan umatnya.” Katanya.
Siti Aminah berharap agar unsur-unsur perbezaan yang boleh membawa kepada persengketaan dan permusuhan perlu diuruskan dengan sebaiknya agar tidak menjadi satu barah yang kemudiannya akan membinasakan USIA sebagai NGO Islam yang boleh merosakkan imej Islam:
“Justeru, adalah amat penting untuk kita memupuk rasa kasih sayang dan kebersamaan agar keutuhan ikatan persaudaraan ini mampu menjelmakan rasa hormat oleh masyarakat lain terhadap Islam dan kepimpinan yang diterajui oleh umat Islam. Kesannya nanti, Islam akan dilihat sebagai satu agama dan sistem kehidupan yang berupaya menyatukan umatnya atas dasar kekuatan ikatan akidah dan nilai-nilai murni yang ada padanya” katanya.
Hadir sama di majlis tersebut Ketua USIA Bahagian Lahad Datu Datuk Haji Mazlan Datu Haji Ibrahim,Ketua Wanita USIA Bahagian Lahad Datu Hajah Zaleha Iskandar dan Ketua Wanita USIA Bahagian Tungku Datin Saloma Datuk Mohd Yusof Amat Jamlee.