Penduduk kampung turun padang sertai gotong royong tebang pokok di Jalan Cecily Karamunting

SANDAKAN: Dibelenggu dengan masalah pokok-pokok besar dan merbahaya di sepanjang Jalan Cecily, Karamunting, dekat sini, penduduk di kawasan tersebut telah turun padang beramai-ramai untuk menyertai suatu aktiviti gotong royong menebang pokok bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di sini, Ahad lalu.

Aktiviti gotong royong besar-besaran tersebut merupakan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun, dan beliau memuji kesungguhan dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk di sini.

Aktiviti gotong royong yang diadakan sepanjang hari dari 8 pagi hingga 4 petang itu disertai oleh lebih kurang 40 orang termasuk penduduk kampung dan juga agensi dan jabatan yang berkaitan seperti Sabah Electricity Sdn Bhd dan TELEKOM Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kesemua pihak yang terlibat dalam menjayakan aktiviti ini. Beberapa batang pokok besar telah berjaya ditebang dan Jalan Cecily kini lebih selamat.

“Saya amat menghargai kerjasama dari semua pihak terutamanya penduduk kampung kerana mereka juga sedar bahawa keselamatan dan kesejahteraan kampung adalah tanggungjawab bersama,” katanya di dalam sebuah kenyataan selepas selesai aktiviti gotong royong tersebut.

Menurut George, terdapat beberapa kes pokok besar yang tumbang di kawasan berhampiran dengan Jalan Seng Kee yang menyebabkan tiang telekomunikasi putus dan menghalang lalu lintas.

Katanya, beliau bersyukur kejadian tersebut tidak kerosakan pada rumah atau kenderaan, tetapi kejadian tersebut harus dielakkan. Justeru, beliau telah mengadakan aktiviti penebangan pokok berskala besar di beberapa lokasi di Karamunting yang sedang berjalan lancar selepas mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada penduduk setempat.

“Penyertaan aktif penduduk dalam aktiviti gotong royong ini bukan sahaja meningkatkan kekuatan komuniti, menunjukkan semangat tolong-menolong, tetapi juga membolehkan pasukan saya iaitu Task Force Team ADUN Karamunting untuk mengenal pasti dan menyelesaikan lebih banyak isu keselamatan pokok besar,” katanya.

Dalam masa itu, George menerangkan bahawa sejak penubuhan Task Force Team ADUN Karamunting tahun lalu, penduduk setempat telah mula menjadikan pasukan tersebut sebagai satu “hotline” atau talian yang mereka hubungi jika mereka menghadapi masalah seperti pokok tumbang, lampu jalan rosak, tanah runtuh, halangan lalu lintas, paip air pecah, tiang elektrik rebah, dan lain-lain.

Katanya, pasukan beliau sering mendapat pujian daripada penduduk setempat atas tindakan mereka yang cepat dalam menyalurkan masalah-masalah penduduk kepada jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan, di samping membuat pemeriksaan susulan dari masa ke semasa.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan Karamunting, saya akan pastikan pasukan saya, Task Force Team ADUN Karamunting akan kekal cekap dan tangkas dalam membantu penduduk Karamunting untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka secepat mungkin, terutamanya bagi isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan penduduk,” tambahnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles