KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkaitan pencapaian ‘sifar miskin tegar di Sabah’ memberi gambaran berbeza-beza sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk di negeri ini.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, menjadi agak mengejutkan berkaitan kenyataan yang dikeluarkan berkaitan isu sifar kemiskinan tegar di negeri ini.
Katanya, jika benar tiadalah apa lagi yang boleh buat kepada rakyat Sabah yang datang meminta bantuan kepada pimpinan berikutan tiada rakyat berada dalam kategori bertaraf miskin tegar di Sabah.
“Saya berharap definasi misikin tegar yang dimaksudkan dengan kenyataan ini dapat dijelaskan oleu kerajaan dengan sebaik mungkin agar tidak mengelirukan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
“Jika dilihat secara realitinya di persekitaran ini, masih ramai lagi rakyat kita di Sabah masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jeffrey merupakan Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, apa garis panduan digunakan dalam Sistem eKasih untuk menentukan kadar miskin tegar atau bentuk bantuan disalurkan kepada golongan miskin selepas golongan miskin tegar tidak ada di Sabah.
“Seperkara lagi mengapa selepas pengumuman dilakukan masih lagi ada keperluan untuk memantau seramai 4,634 miskin tegar di Sabah.
“Mohon nyatakan secara jelas kadar petunjuk atau indicator yang digunakan untuk penetapan sifar miskin tegar ini,” jelas Jeffrey Nor.
Menurutnya, apakah tindakan seterusnya dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Sabah berikutan tiada lagi miskin tegar di Sabah.