Jadikan Rukun Negara, asas ekspresi patriotisme – Ewon

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyeru rakyat di negara ini menjadikan Rukun Negara sebagai asas ekspresi patriotisme atau semangat cintakan negara.

Advertisements

Beliau berkata, rasa cinta kepada negara bukan sekadar luahan perasaan tetapi menuntut kepada penghayatan dan perbuatan.

“Oleh itu, harapan saya agar Rukun Negara dijadikan sebagai asas ekspresi rakyat kepada cintakan negara dan semangat patriotisme kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Ekspresi Bulan Kebangsaan Tahun 2024, anjuran Jabatan Penerangan, di Centola Atrium, ITCC Penampang, di sini, pada Ahad.

Ewon berkata, Rukun Negara pertama, “Kepercayaan Kepada Tuhan” membawa mesej supaya di sebalik perbezaan bangsa dan agama, rakyat harus saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” – ini berkaitan dengan perundangan, penjagaan alam sekitar, keseimbangan ekonomi, pendidikan dan banyak lagi.

“Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang – membawa mesej supaya seluruh rakyat menghormati undang-undang negara.

“Kesopanan dan Kesusilaan – contohnya dalam sambutan Pesta Kaamatan dan sambutan kebudayaan serta keagamaan lain, kita harus menghormati dan memahami budaya masyarakat lain yang akhirnya menyatupadukan seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan, keharmonian dan toleransi antara kaum akan menggerakkan negara ini ke arah yang lebih baik.

Ewon berkata, patriotisme juga bukan sekadar semangat tetapi merupakan sesuatu yang perlu disemai dan dihayati kerana ia melibatkan soal keyakinan, kesetiaan, kewarganegaaan, keberanian, kemerdekaan, jati diri dan kedaulatan.

“Sehubungan itu, matlamat utama majlis Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024, ialah meningkatkan kesederan serta memupuk semangat perpaduan dan patriotisme,” katanya.

Ewon berkata, sambutan ini penting bukan sahaja dalam konteks keharmonian dan perpaduan kaum tetapi dalam konteks ekonomi dan tadbir urus negara.

“Contohnya dalam kontes ekonomi, kita ada dasar kerajaan yang terkait dengan pembangunan keusahawanan dan peraturan pelbagai skim serta inisiatif yang disediakan kerajaan.

“Sekiranya rakyat mematuhi kriteria dan memohon untuk mendapatkan perkhidmatan daripada pelbagai agensi berkenaan, sudah tentu aktiviti ekonomi dalam negara menjadi lebih baik, nilai eksport bertambah baik dengan sumbangan rakyat kepada aktiviti gerakan keusahawanan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles