SANDAKAN: Bercakap tentang pelbagai kejayaan dan pencapaian Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) tetapi tidak melihat realiti sebenar kehidupan rakyat yang tiada air bersih, melalui jalan raya macam di bulan, elektrik dicatu dan 8 daerah mencatatkan 1.2 peratus kadar kemiskinan tertinggi.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata pencapaian dan keberhasilan SMJ yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri termasuk menyelesaikan kemudahan bekalan air bersih dan elektrik tetapi rakyat masih tidak menerima air bersih dan bekalan elektrik masih dicatu.
Beliau tidak kisah siapa pun pemimpin Sabah yang menerajui kerajaan negeri pada hari ini kerana mereka ini bekas pemimpin dari zaman BN, yang penting mereka pantas dan bijak menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya memberi contoh isu air, lapan buah kampung sekitar Batu 10 hingga Batu 12 Sandakan tidak menerima bekalan air bersih lebih setahun, ada paip tetapi tiada air. Sebelum ini, rakyat di kawasan itu menerima bekalan macam biasa sebelum ini.
“Untuk pengetahuan Datuk Nizam, pelbagai aduan telah dilakukan oleh rakyat di kawasan itu kepada pihak berwajib termasuk pemimpin masyarakat yang dilantik kerajaan negeri, tetapi berlarutan sejak Februari tahun lalu hingga sekarang. ini dilihat, pemimpin masyarakat setempat (Pemimpin Pembangunan Masyarakat) tidak berfungsi dengan baik. Aduan telah dibuat, tetapi tiada tindakan.
“Saya selaku wakil rakyat juga telah membawa isu air ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Dewan Rakyat, tetapi sehingga hari ini paip air di rumah-rumah rakyat di kawasan itu masih tiada air bersih,” katanya menjawab kenyataan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata perancangan projek Pan Borneo dan beberapa projek air seperti loji rawatan air Kogopon dan Hidroelektrik Ulu Padas dilaksanakan adalah projek pembangunan di usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu Datuk Nizam pun dalam kerajaan dan hanya diteruskan kesinambungannya oleh kerajaan hari ini, jangan suka ambil kredit kerja orang lain.
“Isu jalan raya, banyak lagi jalan-jalan luar bandar dan jalan kampung masih tidak berturap. Ini belum cerita melalui jalan macam di bulan. Rakyat sudah bosan dengan isu air, elektrik dan jalan yang masih berlarutan tiada jalan penyelesaikan.
“Sudah tentu Datuk Nizam tidak akan akui kawasan Sabah ketinggalan berbanding negeri lain dari aspek kemajuan ekonomi dan pembangunan infrastruktur.
“Pasti Datuk Nizam akan memberi kredit yang tinggi kepada kejayaan dan pencapaian Pelan Pembangunan SMJ dibawah kepimpinan Ketua Menteri, sedangkan rakyat melihat sendiri pentadbiran dan pengurusan yang amat lemah dalam melaksanakan pembangunan.
“Sudah diberikan kuasa menjadi kerajaan sepenuhnya dengan pemimpin melompat bagi mempertahankan ketua menteri, jalankan tugas dengan sebaik mungkin, bukan kegagalan yang dibuat disalahkan orang lain. Kalau tak mampu berkhidmat dengan sebaiknya lebih baik letak jawatan,” katanya.
Sementara itu, Suhaimi berkata sebagai pengerusi badan bukan kerajaan (Ngo) sepatutnya ‘Check and Balance’ kepada kerajaan, jangan seperti lembu dicucuk hidung dengan tidak melihat realiti hidup rakyat yang sengsara tidak memiliki air bersih, jalan berlubang dan tidak diselenggarkan serta masalah bekalan elektrik berlarutan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dan sara hidup yang tinggi.
“Zulkarnain sepatutnya menyuarakan kepada kerajaan bagi memperbaiki segala kelemahan untuk kepentingan rakyat Sabah. Jangan hanya melihat dari sudut kerajaan sahaja sedangkan rakyat menderita.
“Saya sebagai wakil rakyat akan terus memainkan peranan untuk menyuarakan masalah rakyat kepada kerajaan dari pelbagai sudut termasuk isu kemiskinan di lapan daerah di Sabah yang dinyatakan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Dewan Rakyat,” tegasnya.
Suhaimi menjelaskan kerajaan perlu menyelesaikan masalah infrastruktur asas secara total dan kadar kemiskinan di lapan daerah itu sejajar komitmen hala tuju Pelan Pembangunan SMJ.
Beliau mengesa kerajaan negeri agar tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan persekutuan sebaliknya kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan mengggunakan simpanan kewangan yang ada untuk meningkatkan infrastruktur dan meningkatkan sosio ekonomi dengan menyediakan bantuan kepada rakyat agar terkeluar dari garis kemiskinan.