MJM Kebenaran Menggubal Akta STI diangkat tahun ini


KUALA LUMPUR: Sebuah Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Kebenaran Menggubal Akta Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) akan diangkat tahun ini setelah sesi libat urus dengan pihak berkepentingan selesai dilaksanakan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pihaknya mensasarkan supaya Rang Undang-Undang (RUU) STI diangkat bagi pertimbangan Parlimen pada tahun 2025.
β€œSebagai makluman, MOSTI sedang dalam usaha untuk meneruskan penggubalan RUU STI dengan matlamat untuk memelihara kepentingan Kerajaan di dalam bidang dan aktiviti berkaitan STI di dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang berasaskan kepada inovasi.
β€œInisiatif mewujudkan Rang Undang-Undang Sains, Teknologi dan Inovasi ini akan menjadi game changer kepada pengukuhan ekosistem STI dalam semua aspek,” katanya.
Chang berkata demikian dalam sesi Ucapan Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, RUU STI yang sedang dirangka dijangka akan dapat menambah baik ekosistem STI negara secara keseluruhannya.
β€œRUU STI ini akan merangkumi aspek Pemerkasaan Ekosistem STI; Pemantapan pelaksanaan dan pengurusan penyelidikan; serta pembangunan dan pengkomersilan negara.
β€œIa juga merangkumi Modal Insan dan Bakat STI; Peruntukan dan Pengurusan Kewangan merangkumi kerjasama industri; dan Pengukuhan Perkongsian Data,” jelas Chang.
Terdahulu Madius dalam ucapannya menekankan peri pentingnya Akta STI bagi membentuk asas undang-undang yang mengawal dan menggalakkan perkembangan sains serta teknologi dalam negara.
Bekas Menteri MOSTI itu memaklumkan Akta itu juga membantu menyelaraskan norma undang-undang untuk penyelidikan dan inovasi, memastikan keselamatan serta etika sains dipatuhi dan merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan teknologi.
β€œSebenarnya RUU STI ini saya mulakan dahulu semasa saya Menteri MOSTI. Ia sepatutnya dibentangkan dalam Parlimen pada tahun 2018.
β€œRUU ini sangat penting kerana ia membantu menyelaraskan norma undang-undang untuk penyelidikan dan inovasi, memastikan keselamatan serta etika sains dipatuhi, dan merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan teknologi.
β€œJusteru, wujud keperluan untuk membentang semula RUU STI ini di parlimen,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles