KPDN Sandakan Pantau Barangan Keperluan Sekolah


 
SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan sedang giat melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas harga pakaian dan keperluan sekolah menerusi OPS CATUT 2024 (Pakaian Sekolah) menjelang sesi persekolahan yang akan bermula pada 11 Mac 2024.

Advertisements

Berdasarkan statistik penguatkuasaan setakat Isnin semalam, Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata sebanyak 10 premis telah diperiksa di daerah Sandakan membabitkan 13 jenis barangan pakaian dan kasut sekolah.

Susulan itu, katanya sebanyak 10 Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada peniaga yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat awal sama ada berlaku sebarang peningkatan harga bagi barangan yang diperiksa.

“Tindakan ini juga adalah bagi mengesan sekiranya berlaku peningkatan peratus untung bagi jualan barangan terbabit selain mengesan sekiranya terdapat elemen mengambil keuntungan secara tidak munasabah yakni aktiviti mencatut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azdy Zukkry berkata KPDN tidak mengawal harga pakaian dan keperluan sekolah namun pemantauan dan pemeriksaan yang berterusan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan akan terus dijalankan.
 
“Setakat hari ini, KPDN Cawangan Sandakan tidak ada menerima sebarang aduan yang membabitkan kenaikan harga pakaian sekolah dan alat tulis,” katanya.

Sementara itu, Azdy mengingatkan peniaga supaya tidak melakukan aktiviti mencatut kerana ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles