938 calon SPM Tenom terima bantuan alat tulis

TENOM: Seramai 938 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di daerah Tenom menerima sumbangan alat tulis bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar yang juga ADUN Melalap berkata sumbangan itu diharap dapat memberi suntikan semangat kepada calon terbabit selain menyampaikan mesej bahawa usaha mereka mencapai kejayaan turut mendapat sokongan pelbagai pihak.

Katanya, selain ibu bapa, guru dan pengetua, masyarakat serta pemimpin juga mengambil berat terhadap pencapaian pendidikan pelajar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Alat Tulis kepada Calon SPM 2026 Daerah Tenom, di sini, hari ini.

Menurutnya, sasaran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom adalah mencapai Gred Purata Daerah (GPD) 4.68 bagi peperiksaan SPM tahun ini.

Beliau yakin komitmen semua pihak, khususnya pengetua dan guru yang telah menyusun petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing sejak awal tahun, mampu membantu daerah itu mencapai sasaran berkenaan.

Malah, beliau percaya Tenom berpotensi berada dalam kelompok 10 daerah terbaik di Sabah berdasarkan prestasi semasa.

Katanya, PPD Tenom pernah mencatat pencapaian cemerlang dengan menduduki tempat keenam terbaik di Sabah pada 2019 dan berharap kejayaan itu dapat diulangi.

Sementara itu, mengenai usaha memperkukuh keterjaminan makanan di Sabah, Jamawi berkata kementeriannya meneruskan kerjasama antarabangsa bagi memastikan bekalan makanan, khususnya daging, mencukupi, berkualiti dan memenuhi piawaian halal.

Katanya, selepas lawatan ke Australia dan India, beliau akan mengetuai lawatan ke China bermula esok bagi memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pembangunan sektor pertanian.

Menurutnya, kerjasama itu merangkumi pembangunan industri tanaman, penternakan serta penggunaan teknologi pertanian berasaskan mekanisasi.

Beliau berkata penggunaan mesin dan teknologi bersesuaian penting bagi menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian serta menjadikan industri itu lebih menarik dan produktif.

Selepas itu, beliau dijadual mengadakan lawatan ke Brazil pada bulan ini (Nov) bagi meneroka peluang mendapatkan bekalan daging dan ayam pada harga lebih kompetitif.

Katanya, Brazil merupakan antara pengeluar utama produk makanan berasaskan ternakan dunia dan lawatan itu turut memberi peluang kepada Sabah mendapatkan sumber bekalan alternatif.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha memperkukuh industri penternakan tempatan akan terus dilaksanakan, selain mendapatkan bekalan dari luar bagi memenuhi permintaan rakyat.

“Pada masa sama, kita memastikan semua bekalan import memenuhi aspek keselamatan makanan, kebersihan, pensijilan halal dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Jamawi turut menyempurnakan perasmian mural Astaka Tenom yang merupakan sebahagian daripada usaha menceriakan kawasan awam dan merancakkan aktiviti ekonomi serta pelancongan daerah itu.

Beliau berkata kawasan berkenaan sebelum ini kurang dimanfaatkan dan kini akan diberikan nafas baharu menerusi penglibatan anak-anak muda tempatan dalam menghias serta menghidupkan semula kawasan itu dengan aktiviti berkaitan produk kopi dan tarikan setempat.

Katanya, projek itu merupakan projek mural ketiga di Tenom selepas dua lokasi awam lain dibangunkan sebagai kawasan tarikan pengunjung.

Beliau berharap usaha berkenaan dapat menjadikan Tenom sebagai antara bandar yang mempunyai tarikan mural, sekali gus menarik lebih ramai pelancong dan memberi peluang ekonomi serta pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Jamawi turut menghadiri mesyuarat jawatankuasa pelancongan daerah Tenom sempena Tahun Melawat Tenom 2027.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles