LAHAD DATU: Peranan media sosial terbukti berkesan jika digunakan dengan teratur dan berstrategi untuk menyampaikan hala tuju dan program Umno disamping dapat menyebarluaskan pengaruhnya kepada masyarakat.
Bendahari Wanita Umno Malaysia Datin Maizatul Maizatul Akam Alawi berkata pendekatan itu telah digunakanpakai oleh Barisan Nasional semasa beberapa siri pilihanraya Negeri sebelum ini di Melaka dan Johor yang mana media sosial digunakan sebaiknya dengan pendekatan yang sistematik dan konsisten bagi meraih kemenangan bermakna buat BN.
Sehubungan itu, katanya kesungguhan Pergerakan Puteri Umno Sabah menganjurkan kursus media dan Tik Tok wajar diberikan pujian untuk mengerakkan ahli dan jentera parti memanafaatkan media baharu sebagai platform untuk berkempen menjelang PRN Negeri akan datang.
Menurut Maizatul yang juga Naib Ketua Umno bahagian Lahad Datu, pelaksanaan kursus itu di seluruh Zon Umno di Sabah selaras dengan saranan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang mahukan penggunaan media sosial perlu dioptimumkan sepenuhnya oleh ahli UMNO dalam usaha menyebarluaskan pengaruh parti itu secara lebih positif kepada rakyat.
“Kita melihat komitmen Pergerakan Puteri Umno Sabah ini sebagai satu usaha yang positif bagi melengkapkan ilmu pengetahuan ahli serta jentera parti untuk menanafaatkan media sosial sebagai medium menyebarluaskan maklumat program dan dasar parti selain menyalurkan isu isu yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi untuk makluman pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian kursus Media dan Tik Tok Zon 6 Lahad Datu,Tawau Semporna dan Kalabakan di sini baru baru ini.
Kursus tersebut dirasmikan oleh Ketua Puteri Umno Malaysia Datuk Nurul Amal@ Along Fauzi dan turut dihadiri oleh Ketua Puteri Umno Sabah Ummi Nabilah binti Datuk Jamal, dan ia diadakan disemua bahagian mengikut zon masing-masing.
Maizatul menambah di era digital, semua orang mempunyai digit dan boleh membuat akaun media sosial, tik tok dan sebagainya ,namun bagaimana ianya dimuat naik dan dapat menarik perhatian orang ramai yang membaca dan menontonya sudah tentu memerlukan kreativiti lebih kreatif yang boleh di pelajari dari mereka yang pakar dalam bidang ini.
“Sudah tentu melalui kursus ini peserta akan dapat berkongsi pengalaman mempelajari ilmu dari mereka yang pakar dalam bidang ini dan apa yang kita harapkan ilmu tersebut akan dapat dikongsi dan disebarluaskan kepada pemimpin dan ahli di peringkat bahagian dan cawangan,” katanya.
Dalam pada itu, Maizatul juga meminta ahli Umno agar menjadikan media sosial termasuk tik tik untuk mempertahankan parti dan pemimpin yang menjadi kecemanan, termasuk provokasi dan fitnah yang melampau kepada parti dan pemimpin Umno oleh pihak lawan.
“Pihak lawan telah menjadikan media sosial ,tik tok dan sebagainya menyerang pemimpin dan parti Umno, ekoran kegagalan mereka mentadbir negeri dan mengurus masalah rakyat, rakyat pula bangkit dengan menjadikan media sosial sebagai medium mereka mengkritik kerajaan namun yang dipersalahkan oleh tentera siber parti lawan ialah parti Umno dan pemimpinnya sedangkan sebahagian dari pemimpin mereka yang ada dulunya bersama Umno dan kini bersama Kerajaan yang boleh membantu menyelasaikan masalah rakyat bukanya menyalahkan orang lain,” katanya.
Sehubungan itu, Maizatul mengajak ahli Umno agar membentuk satu pasukan tentera siber di semua bahagian dan cawangan menjadikan media sosial untuk membalas segala kecemanan, fitnah dan provokasi yang melampau dari pihak lawan.
“Kita tidak boleh berdiam diri seperti mengiyakan apa yang mereka viralkan, kita perlu bangkit membalas segala tomahan dan fintnah yang disebarkan ,berdasarkan fakta yang ada,” kata Maizatul.