Maijol gesa murid, guru teruskan semangat kecemerlangan

KOTA MARUDU: Karnival Pesta Eksplorasi Nadi Talenta, Anugerah dan Sinergi (PENTAS) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 rasmi ditutup pada Ahad lepas.

Karnival yang berlangsung di SMK Tandek 2 itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Marudu. Majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, YB Datuk Dr. Maijol Mahap.

Dalam ucapannya, Maijol menegaskan bahawa penutupan sesebuah karnival pendidikan tidak seharusnya menandakan berakhirnya usaha membangunkan kecemerlangan, sebaliknya perlu menjadi titik permulaan kepada pencapaian yang lebih besar.

Merujuk tema PENTAS 2026, “Memacu Keunggulan, Memeta Masa Depan”, beliau berkata keunggulan bukan sekadar tentang kemenangan, anugerah atau pengiktirafan, sebaliknya terhasil daripada kesungguhan membina ilmu, keberanian mencuba perkara baharu, ketekunan mengatasi cabaran dan keupayaan memperbaiki diri.

Menurutnya, karnival itu memberi ruang kepada murid menonjolkan bakat dan potensi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), inovasi, komunikasi, kesenian dan kepimpinan. Hal ini membuktikan bahawa kecemerlangan murid mempunyai dimensi yang luas dan tidak terhad kepada pencapaian akademik semata-mata.

Maijol turut menyentuh cabaran pendidikan dalam era teknologi digital, kecerdasan buatan dan ekonomi berasaskan pengetahuan. Katanya, sistem pendidikan perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu menggunakan teknologi, malah berfikir secara kritis, membuat pertimbangan beretika, mencipta penyelesaian dan menyumbang kepada masyarakat.

Dalam konteks itu, beliau menyifatkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 sebagai hala tuju penting untuk memperkukuh kualiti pendidikan, memperluas peluang pembelajaran, membangunkan karakter dan meningkatkan keupayaan murid menghadapi masa depan. Program seperti PENTAS pula amat bernilai kerana menyediakan pengalaman pembelajaran yang melangkaui bilik darjah, sekali gus melatih murid berkomunikasi, bekerjasama, berfikir secara kreatif, mengurus cabaran dan membina keyakinan diri.

Beliau turut mengajak hadirin merenung ukuran sebenar kejayaan PENTAS. Menurutnya, kejayaan karnival tidak hanya dinilai berdasarkan kemeriahan acara, bilangan pertandingan atau jumlah anugerah yang disampaikan, tetapi sejauh mana pengalaman yang diperoleh mampu mencetuskan perubahan dalam diri murid, memperkaya amalan guru dan memperkukuh budaya kecemerlangan di sekolah.

“Karnival yang benar-benar berimpak melahirkan lebih ramai murid yang berani mencuba, yakin dengan kebolehan sendiri dan tidak mudah berputus asa,” katanya.

Maijol mengucapkan tahniah kepada murid yang meraih pengiktirafan dan menasihati mereka agar tidak berpuas hati dengan satu kemenangan kerana kecemerlangan sebenar menuntut pembelajaran sepanjang hayat. Bagi murid yang belum berjaya meraih anugerah, beliau menegaskan penyertaan mereka tidak sia-sia kerana keberanian tampil, mencuba, berkongsi idea dan bersaing secara sihat turut menyumbang kepada proses membina kejayaan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada para guru dan pembimbing yang disifatkan sebagai tulang belakang pembangunan bakat murid. Beliau turut menyeru agar kerjasama antara sekolah, ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan dan rakan strategik diteruskan bagi membentuk ekosistem sokongan yang kukuh kerana pembangunan pendidikan bukan tanggungjawab satu institusi semata-mata.

Penghargaan khusus turut disampaikan kepada PPD Kota Marudu yang diterajui Encik Halim bin Haji Bidin atas kesungguhan menjayakan PENTAS peringkat negeri. Semangat “Marudu Hebat, Drive To Excellence” yang diketengahkan dinilai amat bertepatan dengan keperluan membina budaya kerja yang progresif, kolaboratif dan berorientasikan keberhasilan.

Maijol berharap semangat itu diterjemahkan melalui pengembangan bakat, perkongsian amalan terbaik, pengukuhan jaringan strategik dan usaha penambahbaikan yang berterusan. Beliau menegaskan setiap pencapaian perlu mempunyai kesinambungan.

“Bakat yang ditemukan perlu dibimbing, inovasi yang dihasilkan perlu dikembangkan dan kejayaan yang dicapai perlu dijadikan inspirasi untuk mencipta kejayaan seterusnya,” katanya.

Sebelum merasmikan penutupan karnival, beliau berpesan kepada semua peserta dan warga pendidikan agar tidak menjadikan PENTAS sebagai kemuncak perjalanan kecemerlangan.

“Biarlah pentas fizikal kita tutup pada hari ini, tetapi pentas ilmu, kreativiti, inovasi dan kecemerlangan terus terbuka luas untuk generasi masa hadapan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles