Anwar perbaharui tekad selesaikan semakan gaji kakitangan awam tahun depan

PENAMPANG: Selepas hampir berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan tegar di negara ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperbaharui tekad untuk menyelesaikan semakan semula gaji penjawat awam tahun depan.

Advertisements

Beliau berkata kajian itu penting memandangkan gaji kakitangan awam sudah lama tidak disemak.

“Sehingga hari ini, kita sudah hampir selesaikan isu kemiskinan tegar dan tahun depan tumpuan kita ialah menyelesaikan kajian gaji kakitangan awam.

“Gaji kakitangan awam sudah lebih 10 tahun tidak disemak dan kerajaan perpaduan mahu pastikan tangga gaji kakitangan juga akan nikmati sedikit kenaikan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap melancarkan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat kebangsaan di Buhavan Square, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata bagi kakitangan swasta, kerajaan berharap syarikat-syarikat besar dan korporat juga melaksanakan gaji yang progresif, sekali gus memastikan mereka turut menikmati kadar gaji yang lebih baik.

Perdana Menteri turut mengulangi kesungguhan kerajaan Perpaduan Persekutuan memajukan Sabah dengan
memperuntukkan sekitar RM16.2 bilion untuk belanja pembangunan dan pengurusan, tidak termasuk peruntukan RM15 bilion untuk projek Pan Borneo.

“Saya harap tiada orang politik yang cuba memutar balik fakta ini untuk tujuan meraih sokongan rakyat,” katanya.

Anwar juga merayu kepada semua bandaraya, majlis perbandaran dan daerah menyediakan gerai dan warong yang bersih bagi memberi peluang kepada penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan, termasuk di Sabah.

Mengenai pendidikan, beliau berkata selain memperkasakan bahasa kebangsaan, kerajaan perpaduan juga akan memperhebatkan program pemerkasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles