KKD diminta siasat RTM tidak dibenarkan buat liputan ADUN, Ahli Parlimen UMNO/BN di Sabah

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir di Dewan Rakyat hari ini membangkitkan isu berkaitan dengan RTM di Sabah yang tidak dibenarkan membuat liputan program Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dan Ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN).

Advertisements

“Saya mendapat laporan yang mengatakan RTM tidak dibenarkan untuk membuat liputan terhadap ADUN pembangkang dan juga kepada Ahli parlimen UMNO/BN di Sabah.

“Saya juga turut dimaklumkan bahawa perkara ini berlaku atas arahan daripada pihak tertentu.

“Saya berharap pihak kementerian (Kementerian Komunikasi dan Digital) dapat membuat siasatan serta pertimbangan sewajarnya terhadap perkara ini. Saya merasakan media arus perdana ini tidak seharusnya dipolitikkan untuk kempentingan sesiapa sahaja,” katanya dalam perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Digital.

Beliau berkata sebagai media agensi Kerajaan Persekutuan sepatutnya RTM diberikan kebebasan untuk membuat siaran kepada semua wakil-wakil rakyat tanpa sekatan.

Pada sesi perbahasan itu, Suhaimi juga menyentuh kebanyakkan drama tempatan hanya berkisarkan isu-isu mengenai hasad dengki, dendam dan perkahwinan dari status golongan yang tidak sama taraf yang sering kali dilihat mampu untuk memancing emosi para penonton.

“Saya merasakan sudah sampai masanya para karyawan drama tempatan untuk berubah dengan menghasilkan karya yang mampu mendidik masyarakat ke arah pemikiran positif serta membina minda.

“Justeru itu, saya ingin mengetahui adakah terdapat sebarang pemantauan terhadap kualiti kandungan skrip sesebuah drama di Malaysia,” soalnya.

Beliau berkata apakah terdapat sebarang usaha serta ruang dan peluang yang akan disediakan oleh kementerian untuk para karyawan drama bagi membangunkan kandungan industri kreatif yang lebih berkualiti di Malaysia.

“Bagaimanakah kementerian akan memastikan pemain industri kreatif sentiasa menepati serta mengikuti garis panduan ditetapkan bagi mengelakkan penghasilan kandungan industri kreatif yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Dalam pada itu, beliau melihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) telah menerima pertambahan peruntukan dari RM 35 juta pada tahun 2023 kepada RM 35.13 juta pada tahun 2024.

“Apakah usaha serta komitmen yang akan dijalankan oleh pihak kementerian bagi memperbanyakkan filem-filem berbentuk patriotik bagi menyemai semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Adakah terdapat sebarang inisiatif atau insentif yang akan diberikan oleh kementerian kepada pemain industri perfileman yang ingin menghasilkan filem berbentuk patriotik,” katanya.

Suhaimi turut membangkitkan isu berkenaan mesej dari nombor tak dikenali yang menyediakan link pautan ke laman web atau portal bantuan Kerajaan yang palsu. Kaedah penipuan ini dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat peribadi individu.

“Cuma apa yang menjadi persoalan saya bagimana para scammer ini mendapatkan maklumat nombor telefon individu adakah terdapat kemungkinan syarikat telekomunikasi yang bekerjasama dengan pihak scammer menjual data maklumat nombor telefon individu.
“Justeru itu, menerusi peruntukan sedia ada ini apakah langkah-langkah pencegahan segera yang akan dilaksanakan oleh kementerian bagi memastikan tidak lagi berlaku kebocoran maklumat peribadi,” katanya.

Sementara itu, beliau menyambut baik terhadap peruntukan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebanyak RM 800 juta tahun 2024.

Suhaimi membangkitkan isu berkenaan masalah internet dan talian telefon yang teruk di kawasan Parlimen Libaran sama ada di kawasan luar bandar mahupun bandar.

Katanya penggunaan telefon pintar yang canggih tidak membawa apa-apa kelebihan kepada rakyat kerana rakyat masih lagi perlu berjuang untuk mencari dan mendapatkan internet dan talian telefon untuk berhubung.

Sebagai contoh, beliau berkata, di kawasan Sejati Walk Batu 7 dalam Parlimen Libaran yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Sandakan turut tidak mendapat capaian internet dan talian telefon yang baik.

“Saya berharap agar kementerian dapat turun ke parlimen Libaran untuk melihat sendiri masalah ini bagi memastikan rakyat di kawasan parlimen Libaran turut mampu menikmati kemudahan internet dan talian telefon yang lebih baik.

“Justeru itu, saya ingin mengetahui melalui peruntukan ini, apakah langkah serta usaha yang akan dilaksanakan oleh kementerian bagi mengatasi masalah capaian internet dan talian telefon di Parlimen Libaran,”kata Suhaimi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles